• RSS

25 October 2012

9 Zulhijjah 10 Hijrah: Khutbah Terakhir Rasulullah saw

Assalamualaikum wbt..

Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw. Bersyukurlah kerana dengan titik darah dan penat lelah bagindalah kita semua mampu menjadi seorang Islam saat ini.

9 Zulhijjah. Tarikhnya diketahui umum sebagai hari Arafah. Maka di dinding-dinding facebook dan laman sosial yang lain lahirlah jutaan pendakwah yang menyebarkan tentang hadith dan fadhilat berpuasa pada hari arafah ini. Tidak ketinggalan juga yang menulis niat berpuasa serta maksudnya sekali. Tahniah diucapkan. Namun, tidak seharusnya kita lupakan satu lagi peristiwa penting yang berlaku ketika hari arafah pada 10 tahun Hijrah dahulu. Iaitulah khutbah yang terakhir yang disampaikan oleh Kekasih Allah, Nabi kita, Muhammad saw.

Sebelum saya meneruskan penulisan, izinkan saya untuk mengajak kita semua bermuhasabah. Memandangkan banyak riwayat hadith yang menyatakan fadhilat puasa ini kebanyakkannya adalah berkenaan pengampunan dosa, maka cuba tanyakan soalan-soalan ini kepada diri sendiri. Apakah niat sebenar untuk kita berpuasa sunat? Adakah kita benar-benar mengharapkan keampunan daripada Allah? atau kita sebenarnya mengharapkan puasa sunat ini sebagai 'instant repent' untuk dosa yang kita telah atau bakal lakukan?

Maaf, saya bukan golongan anti-hadith yang menafikan fadhilat berpuasa sunat hari arafah.

Jawapan yang mungkin anda berikan ialah:

"Apa salahnya kita merebut pahala puasa sunat? Kita sebagai manusia yang selalu berbuat khilaf, mestilah selalu mencari peluang untuk menambah pahala dan cara untuk menghapus dosa kan?"

Ya. Memang betul. Tapi, sejauh mana kita berusaha untuk mengamalkan cara hidup Islam dalam diri kita? dan sejauh mana kita bermujahadah untuk menghindari diri daripada melakukan dosa? Berapa kalikah kita melafazkan kata-kata taubat kepada Allah swt?

Apa yang dimaksudkan dengan 'instant repent' ialah apabila seseorang itu sudah jelas terang dan nyata lagi bersuluh melakukan dosa seperti berzina, membuka aurat, dan sebagainya lalu dia berpuasa sunat hanya dengan melihat kepada fadhilat puasa ini mampu menghapuskan dosa-dosanya dengan segera. Mungkin juga terpengaruh dengan cara pemikiran generasi Y yang semuanya mahu disegerakan. Termasuklah dari sudut pengampunan dosa?? Astaghfirullahalazim..

sedangkan inti taubat itu haruslah penuh dengan penyesalan, tangisan, taubat menghina diri, dan keazaman untuk tidak mengulanginya lagi.

Sahabat-sahabat sekalian, marilah kita menghayati kisah menyayat hati khutbah Rasulullah saw pada 9 Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

"Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak hadir di sini pada hari ini."

Rasulullah sememangnya sudah dapat merasakan hajinya pada tahun itu adalah yang terakhir. Suasana sepi. Para sahabat sudah berasa sayu. Mereka sedar, tubuh mulia di hadapan mereka ini bakal meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Suasana suram mula menyelubungi. Semua diam untuk mendengar setiap patah mutiara yang bakal keluar dari mulut kekasih Allah ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas  segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan semi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.


Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.


Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Tawa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.


Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. itulah Al-Quran dan Sunnahku.


Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampakan pula kepada orang lain. semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan RisalahMu dan kepada Hamba-hambaMu. 


Dan sekarang, cuba tanyakan soalan ini kepada diri kita. Sudahkah kita menyempurnakan wasiat nabi yang terakhir ini dalam kehidupan kita? Adakah kita benar-benar mengamalkan apa yang sudah terpatri dalam Al-Quran dan Sunah? Ini adalah antara soalan umum sebagai muhasabah.

Dan mari kita tanyakan soalan yang lebih khusus kepada diri kita. Kita yang mengaku Umat Rasulullah yang kononnya menggelar diri sebagai pendakwah ini, sejauh manakah kita mengajak masyarakat Islam di tempat kita untuk kembali ikut perintah Allah? Kita yang mengaku nuqaba' ini, sejauh manakah kita tidak culas dalam melaksanakan usrah? Kita yang kononya menggelar diri sebagai amilin, jundullah ini sejauh manakah kita berlumba-lumba untuk menjadi AJK program jema'ah? Kita yang mengaku sebagai pemimpin ini, sejauh manakah kita melaksanakan amanah yang benar-benar ditaklifkan?

Teruskanlah hidup ini wahai sahabat-sahabat. Teruskan kehidupan ini dengan kelalaian. Teruskan sikap bermalas-malasan antum dalam jema'ah. Teruskan sikap menangguh-nangguh kerjamu wahai para amilin. Teruskan sikap antum yang culas dengan masa.Teruskan sikap antum yang sukakan hal-hal 'gosip baitul-muslim' itu berbanding gerak kerja jema'ah. Teruskanlah dengan 'tabiat-tabiat selesa membuang masa' yang antum buat sekarang. Teruskan sikap egomu wahai yang mengaku pemimpin.

Teruskanlah!

Lihatlah ke kanan dan kiri, lihatlah dalam diri kita, keluarga kita, rakan-rakan kita, masyarakat sekeliling kita, pemimpin kita, apakah keadaan mereka sekarang? Sudahkah mereka Islam dengan sepenuhnya? Jika belum, apakah yang telah kita lakukan dengan tangan dan lisan kita untuk mengamalkan amal makruf dan nahi mungkar?

Persoalkanlah dalam hati kita. Hanya kita sendiri yang mampu menjawab soalan tersebut.

Maaf salah silap. Sama-sama kita bermuhasabah. Saya penulis berdosa terpaksa menulis semua ini kerana tidak mahu antum semua turut berdosa seperti saya.

Wallahu'alam.



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...