Bismillah wa syukrulillah..
"wah, anak perempuan Hjh Asmah tinggal seorang. Tak lama lagi tu..."kata Cik Tipah
"ha linda. Tinggal kau sorang tak kahwin lagi. Bila lagi..."kata Pak Manap
Ini antara soalan bertubi-tubi yang ditanya kepada saya ketika majlis walimah abang saya bulan lepas. Dari pagi sampai ke petang. Dari sebelum majlis bermula hinggalah selesai. Semua duk tanya. Bila lagi, bila lagi, bila lagi. Riiiiimas!(dengan gaya matluthfi)
Akhirnya, bila orang asyik bertanya, maka jawapan ringkas ini saya jawab. " Esok! jangan tak datang pula ya!, "
Hmm.. Macam-macam.
Perkahwinan pada saya ialah ibarat memasuki satu alam. Memasuki alam perkahwinan ialah bermaksud melangkah ke alam orang-orang dewasa. Orang yang cukup matang dari sudut ilmu agama, ilmu mengurus emosi dan ilmu mengurus kehidupan diri sendiri dan orang lain.
Sebagai persediaan untuk memasuki alam ini, maka orang pun berpusu-pusu mendaftar kursus kahwin. Itu dari sudut syarat wajib di Malaysia. Persediaan yang lain pula ialah, kerja lebih masa untuk mencari wang kenduri dan hantaran, menajamkan skill memasak, belajar menjahit, membaca buku-buku berkaitan rumahtangga, dan sebagainya. Tidak kurang juga yang menghantar borang baitul muslim kepada panel bagi yang belum ada calon. Itu semua adalah persediaan yang dilakukan ramai dari kita.
Kebanyakkan orang, hangat bercerita keseronokan berkahwin. Lumrah manusia akan membayangkan yang indah-indah sahaja tentang sesuatu yang belum ditempuhi. Kerana, di alam perkahwinan lah separuh daripada yang haram di dunia ini menjadi halal di antara suami isteri.
Namun, persoalannya di sini ialah, kenapa orang masih tertanya-tanya dan sibuk mencari-cari sedangkan alam perkahwinan ini, Allah sudah tetapkan sejak dulu lagi. Bila? Dengan siapa? Di mana? ketika umur berapa? Semuanya sudah pun ditetapkan hanya menjadi misteri dan rahsia. Kerana misteri inilah, kadangkala manusia begitu asyik untuk berteka-teki dengan kehadiran cinta. Kadang-kala sehingga lagha! (nauzubillah)
Ramai juga dikalangan kita terlupa. Ada satu lagi alam rahsia Tuhan, misteri kepada kita tapi tak ramai untuk orang ingin tahu. Sedangkan, konsepnya sama seperti alam perkahwinan tadi. Di mana? bila? dengan siapa? ketika umur berapa? semuanya kita tidak tahu. Iaitulah alam barzakh. Alam perpindahan roh. Alam kematian.
Cuba kita koreksi diri dan bertanya kepada hati kita yang paling dalam. Apakah perasaan excited kita memikirkan hal-hal alam perkahwinan sama dengan perasaan ketika memikirkan alam kematian. Sejauhmanakah persediaan untuk kedua-dua alam ini seiring? Jika kita suka untuk berteka-teki dengan siapakah kita dijodohkan mengapa tidak kita juga berteka-teki untuk hal-hal kematian kita. hal-hal negeri akhirat kita. Bukanlah bermakna untuk kita meminta-minta mati tapi "bukankah orang yang paling bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan bersedia kearahnya" (Imam Ghazali)
Alam perkahwinan vs alam kematian. Ada matlamat, visi, misi tersendiri.
"Ya Allah berikan aku cinta orang yang mencintaiMu. Jauhi diriku daripada fitnah cinta yang melemahkan pemuda dari mengingatiMu."
Berkahwinlah dengan niat untuk melengkapkan agama bukan sekadar nafsu. Bentengkan hatimu dengan ingat kepada Allah Tuhan yang Maha Mengetahui segala rahsia. Nikah dan mati semuanya rahsia Tuhan!
Wallahu'alam.
Nabi dulu Mazhab apa?
1 week ago
0 comments:
Post a Comment