• RSS

04 December 2012

PERLU vs MAHU

Bismillah...

Mengimbau kembali kisah saya 3 tahun lepas..

Hasil daripada keputusan peperiksaan di matrikulasi, alhamdulillah saya terpilih untuk menghadiri temuduga di USM penang untuk ijazah sarjana muda farmasi. Pelbagai persediaan saya lakukan. Meneliti beberapa jenis ubat, berlatih bercakap di hadapan cermin dan sebagainya. Walaupun ini bukan kali pertama pengalaman saya ditemuduga, namun perasaan kali ini sangat berdebar memandangkan, menjadi seorang farmasi adalah cita-cita saya semenjak SPM. Akhirnya sampai juga hari yang ditunggu, saya bertolak ke penang seorang diri dengan menaiki bas..

Yakin dan berani. Itulah yang saya rasakan ketika ditemubual oleh tiga orang panel tadi. Dengan jawapan yang saya rasakan logik dan relevan, saya yakin untuk terpilih!

Seminggu kemudian, saya perlu bersedia pula untuk menghadiri temuduga di UTHM untuk ijazah sarjana muda pendidikan. Persediaan saya, biasa-biasa saja. Kak ngah sudah 'menyumbat' pelbagai bahan bacaan kepada saya. Namun, tidak saya endahkan.

Ketika berhadapan dengan panel penemuduga pula, saya biasa saja. Sudah lah menjawab soalan dengan jawapan yang berulang-berulang akibat hilang point, muka tak yakin, gaya cakap pun sudah nampak tak bersungguh malah, ketika diminta untuk mengajar selama 10 minit, Saya katakan kepada panel, saya rasa saya tidak mampu untuk mengajar. Dan di situ juga panel tersebut memberi motivasi, "awak boleh! Ajar ja apa-apa". Kemudian, saya pun mengajar saja. entah apa-apa. Itulah perasaan ketika itu.

Akhirnya, keputusan upu keluar. Saya gagal ke USM tetapi berjaya ke UTM. Saya menangis semahu-mahunya. Impian untuk menjadi seorang pharmaciest hancuq berkecai..

Dengan iman yang sangat tipis ketika itu, berhari-hari jugalah baru saya redha. Puas emak memujuk.. Astaghfirullah. Semoga Allah ampunkan dosa saya ini..

Itu kisah saya 3 tahun lepas. Sekarang, saya sudah pun di tahun akhir ijazah sarjana muda sains pendidikan matematik. Mustahil jika saya masih tidak ikhlas dalam bidang ini ketika ini.
Terasa diri sangat bodoh ketika itu. Mengapalah perlu mengambil masa berhari-hari baru hendak redha dengan qada' qadar Allah. Sedangkan semestinya kita tahu Allah itu akan memberikan apa yang kita PERLU berbanding apa yang kita MAHU. Dia Maha Tahu apa yang terbaik bagi hambaNya.
Saya mahukan ilmu farmasi, tapi Allah berikan ilmu menjadi seorang murobbi. Alhamdulillah. Saya berdoa untuk ilmu yang baik, tapi Allah berikan ilmu yang terbaik.

Dengan tahap tekanan kesibukan di saat ini, saya tidak pasti saya mampu atau tidak untuk menghadapinya jika saya berada dalam bidang farmasi. Dengan kesusahan subjek minor kimia yang saya ambil sekarang, saya tidak dapat bayangkan tahap kesusahan jika saya belajar kimia dalam farmasi. Fuh! Semoga Allah mempermudahkan..

Dalam sekalian hal, marilah kita berhusnu dzan kepada Allah. Dia yang Mahu Berkuasa ke atas setiap masa depan hambaNya.
Di saat kita berdoa untuk berjaya, Allah berikan kegagalan kecil agar kita terus berusaha.
Di saat kita berdoa untuk keluasan masa, Allah berikan kesempitan kecil agar kita berdisiplin menghargai masa yang ada.
Di saat kita berdoa untuk kekayaan harta, Allah berikan kesempitan wang agar kita bersyukur dan berjimat.
Dan, di saat kita berdoa untuk segera diberikan jodoh, Allah lambatkan sikit untuk memberi kita keluasan masa untuk bersedia.

Makanya, teruskanlah berusaha dan berdoa.
Dalam segenap inci kehidupan, percayalah, padanya ada hikmah!

02 November 2012

A simple Short Test

"Ok. Saya bagi masa seminit dari sekarang fikirkan apa-apa topik yang anda semua rasa patut untuk anda kongsikan kepada semua orang." Dr Razali memberi arahan selepas memulakan kelas dengan membaca al-fatihah.

Semua pelajar tunduk. Ada juga yang tergaru-garu kepala. Masing-masing sibuk memikirkan apalah topik yang ingin dikongsikan. Pensyarah Kimia Analisis saya yang ini memang begitu. Setiap hari ada sahaja benda baru yang dilakukan dalam kelas. 

"Ok. Cukup. Linda, bangun dan pilih tiga nama rakan kamu. Saya nak, awak jaga masa seminit untuk setiap orang bercakap" Dr memberi arahan kepada saya.

Saya senyum dan bangun dengan semangat. Sedikit lega kerana sekurang-kurangnya saya terlepas dari memberi perkongsian. Dengan muka sedikit 'kejam', saya pun memilih tiga nama.

Pelajar pertama berkongsi mengenai enjin kapal terbang. Pelajar kedua berkongsi mengenai sifat manusia dan pelajar terakhir berkongsi mengenai tips menghilangkan stress dengan menjaga hubungan dengan Allah.

Usai mereka memberi perkongsian, Dr membuat kesimpulan daripada aktiviti tersebut.

"Apa yang saya cuba ingin sampaikan ialah, topik perbualan kita seharian adalah menggambarkan siapa kita dan kepentingan perkara tersebut pada diri kita. Contohnya awak tengok bola malam tadi maka keesokannya topik bola sahajalah yang mengisi ruang perbincangan awak dengan orang lain. Dengan itu kita sudah boleh menilai orang tersebut menganggap isu bola adalah perkara penting dalam hidupnya dan perlu untuk dia kongsikan kepada orang lain. Oleh itu, pelajar sekalian, cuba kita tanamkan kepada diri kita bercakaplah, berkongsilah perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada orang lain." satu resolusi kemas daripada Dr.

Saya menganggukkan kepala dan menyebut Insya Allah dalam hati.

Benar apa yang dikatakan Dr Razali. Cuba kita muhasabah kembali. Tanyakan pada diri apakah topik yang selalu menjadi perbincangan kita sepanjang hari ini? minggu ini? bulan ini? tahun ini? sepanjang hidup ini?
Dalam tidak sedar, topik perbincangan itulah yang menunjukkan dimana prioriti isu tersebut diletakkan dalam diri kita seterusnya menggambarkan siapa kita sebenarnya. Atau dengan cara mudahnya, cukuplah dengan sekadar melihat apa yang ditulis di status facebook dan twitter kita. Macam-macam ada. Ada yang suka menulis mengenai baitul muslim, cinta, siasah, macam mana cara nak tumbangkan kerajaan, usrah, dakwah, tarbiyah,dan tidak terkecuali PSM (aduh! terasa..). Semuanya menggambarkan dengan jelas bahawa itulah kepentingan yang kita letakkan dalam hidup sekarang.

Hmmm... sama-samalah muhasabah.

Saya ada seorang sahabat yang hidupnya dari pagi hingga petang asyik cakap pasal baitul muslim sahaja. Tidak kisahlah dengan siapa pun dia berjumpa. Status di fb jangan cakaplah. Memang penuh berbunga-bunga. Katanya, baitul muslim penting bagi memastikan kesinambungan gerak kerja jema'ah.

Ada juga sahabat saya yang pagi hingga ke malam, asyik bincang pasal usrah. Tidak kisah dengan siapa dia berjumpa, mesti dia tanya pasal usrah. Katanya, Usrah tunjang tarbiyah. Tidak boleh tinggal usrah.

Hmm...macam-macam.  

Samalah saya pun. Kadang-kadang entah apa-apa yang saya post di fb. Itu pun menggambarkan betapa 'entah apa-apalah" saya ni.

Oleh itu, marilah kita betulkan kembali prioriti dalam hidup kita. Letakkan kepentingan itu mengikut fiqh awlawiyat dan 'delete' semua yang lagha dan tidak berguna. maka, secara automatisnya tingkah laku dan segala isi percakapan kita mesti akan menjadi lebih bermanfaat.

Siiru'alabarokatillah..:)




25 October 2012

9 Zulhijjah 10 Hijrah: Khutbah Terakhir Rasulullah saw

Assalamualaikum wbt..

Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw. Bersyukurlah kerana dengan titik darah dan penat lelah bagindalah kita semua mampu menjadi seorang Islam saat ini.

9 Zulhijjah. Tarikhnya diketahui umum sebagai hari Arafah. Maka di dinding-dinding facebook dan laman sosial yang lain lahirlah jutaan pendakwah yang menyebarkan tentang hadith dan fadhilat berpuasa pada hari arafah ini. Tidak ketinggalan juga yang menulis niat berpuasa serta maksudnya sekali. Tahniah diucapkan. Namun, tidak seharusnya kita lupakan satu lagi peristiwa penting yang berlaku ketika hari arafah pada 10 tahun Hijrah dahulu. Iaitulah khutbah yang terakhir yang disampaikan oleh Kekasih Allah, Nabi kita, Muhammad saw.

Sebelum saya meneruskan penulisan, izinkan saya untuk mengajak kita semua bermuhasabah. Memandangkan banyak riwayat hadith yang menyatakan fadhilat puasa ini kebanyakkannya adalah berkenaan pengampunan dosa, maka cuba tanyakan soalan-soalan ini kepada diri sendiri. Apakah niat sebenar untuk kita berpuasa sunat? Adakah kita benar-benar mengharapkan keampunan daripada Allah? atau kita sebenarnya mengharapkan puasa sunat ini sebagai 'instant repent' untuk dosa yang kita telah atau bakal lakukan?

Maaf, saya bukan golongan anti-hadith yang menafikan fadhilat berpuasa sunat hari arafah.

Jawapan yang mungkin anda berikan ialah:

"Apa salahnya kita merebut pahala puasa sunat? Kita sebagai manusia yang selalu berbuat khilaf, mestilah selalu mencari peluang untuk menambah pahala dan cara untuk menghapus dosa kan?"

Ya. Memang betul. Tapi, sejauh mana kita berusaha untuk mengamalkan cara hidup Islam dalam diri kita? dan sejauh mana kita bermujahadah untuk menghindari diri daripada melakukan dosa? Berapa kalikah kita melafazkan kata-kata taubat kepada Allah swt?

Apa yang dimaksudkan dengan 'instant repent' ialah apabila seseorang itu sudah jelas terang dan nyata lagi bersuluh melakukan dosa seperti berzina, membuka aurat, dan sebagainya lalu dia berpuasa sunat hanya dengan melihat kepada fadhilat puasa ini mampu menghapuskan dosa-dosanya dengan segera. Mungkin juga terpengaruh dengan cara pemikiran generasi Y yang semuanya mahu disegerakan. Termasuklah dari sudut pengampunan dosa?? Astaghfirullahalazim..

sedangkan inti taubat itu haruslah penuh dengan penyesalan, tangisan, taubat menghina diri, dan keazaman untuk tidak mengulanginya lagi.

Sahabat-sahabat sekalian, marilah kita menghayati kisah menyayat hati khutbah Rasulullah saw pada 9 Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

"Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak hadir di sini pada hari ini."

Rasulullah sememangnya sudah dapat merasakan hajinya pada tahun itu adalah yang terakhir. Suasana sepi. Para sahabat sudah berasa sayu. Mereka sedar, tubuh mulia di hadapan mereka ini bakal meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Suasana suram mula menyelubungi. Semua diam untuk mendengar setiap patah mutiara yang bakal keluar dari mulut kekasih Allah ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas  segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan semi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.


Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.


Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Tawa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.


Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. itulah Al-Quran dan Sunnahku.


Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampakan pula kepada orang lain. semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan RisalahMu dan kepada Hamba-hambaMu. 


Dan sekarang, cuba tanyakan soalan ini kepada diri kita. Sudahkah kita menyempurnakan wasiat nabi yang terakhir ini dalam kehidupan kita? Adakah kita benar-benar mengamalkan apa yang sudah terpatri dalam Al-Quran dan Sunah? Ini adalah antara soalan umum sebagai muhasabah.

Dan mari kita tanyakan soalan yang lebih khusus kepada diri kita. Kita yang mengaku Umat Rasulullah yang kononnya menggelar diri sebagai pendakwah ini, sejauh manakah kita mengajak masyarakat Islam di tempat kita untuk kembali ikut perintah Allah? Kita yang mengaku nuqaba' ini, sejauh manakah kita tidak culas dalam melaksanakan usrah? Kita yang kononya menggelar diri sebagai amilin, jundullah ini sejauh manakah kita berlumba-lumba untuk menjadi AJK program jema'ah? Kita yang mengaku sebagai pemimpin ini, sejauh manakah kita melaksanakan amanah yang benar-benar ditaklifkan?

Teruskanlah hidup ini wahai sahabat-sahabat. Teruskan kehidupan ini dengan kelalaian. Teruskan sikap bermalas-malasan antum dalam jema'ah. Teruskan sikap menangguh-nangguh kerjamu wahai para amilin. Teruskan sikap antum yang culas dengan masa.Teruskan sikap antum yang sukakan hal-hal 'gosip baitul-muslim' itu berbanding gerak kerja jema'ah. Teruskanlah dengan 'tabiat-tabiat selesa membuang masa' yang antum buat sekarang. Teruskan sikap egomu wahai yang mengaku pemimpin.

Teruskanlah!

Lihatlah ke kanan dan kiri, lihatlah dalam diri kita, keluarga kita, rakan-rakan kita, masyarakat sekeliling kita, pemimpin kita, apakah keadaan mereka sekarang? Sudahkah mereka Islam dengan sepenuhnya? Jika belum, apakah yang telah kita lakukan dengan tangan dan lisan kita untuk mengamalkan amal makruf dan nahi mungkar?

Persoalkanlah dalam hati kita. Hanya kita sendiri yang mampu menjawab soalan tersebut.

Maaf salah silap. Sama-sama kita bermuhasabah. Saya penulis berdosa terpaksa menulis semua ini kerana tidak mahu antum semua turut berdosa seperti saya.

Wallahu'alam.



22 October 2012

Air

Dengan Nama Allah Yang maha Pemurah lagi maha Penyayang..

Selawat dan salam atas junjungan besar nabi Muhammad, Rasulullah saw..

Tempoh hari, saya dan rakan-rakan 4SPM yang mengambil minor kimia seramai 10 orang telah ke Pusat Rawatan Air di SAJ, Kota Tinggi bertemankan Dr Alias selaku pensyarah untuk subjek Kimia Alam Sekitar SSC2223. Sebenarnya, lawatan ini adalah idea Dr Alias untuk melihat sendiri proses rawatan air yang dilakukan seperti yang dipelajari dalam kuliah teori. Jadi, dengan kersungguhan Dr untuk memberi kefahaman kepada kami, maka lawatan ini pun berlangsung dengan jayanya.

Pusat Rawatan Air SAJ di Kota tinggi ini mampu menyalurkan 318000 meter padu ke Johor Baharu, Pontian, Bukit Jelutong dan Skudai. Air yang disalurkan ini ialah berpangkalan dari Sungai Johor yang terletak di Kota Tinggi.

Proses merawat air yang bersalur terus daripada sungai ini tidaklah mengambil masa yang lama. Kira-kira 45 minit sahaja air itu dirawat maka ia sudah pun boleh digunakan dengan selamat iaitulah yang keluar daripada paip air di rumah kita.

mudah bukan?

Ya memanglah mudah kerana kita tidak pernah tahu disebalik tabir kesusahan para pekerja di pusat rawatan air ini. Walaupun proses rawatan ini bukanlah dilakukan secara manual, namun perincian untuk memastikan 'setting machine' bersesuaian dengan tahap kekeruhan atau kekotoran air sungai bukan mudah. En Halim selaku pegawai di pusat rawatan memberitahu hanya tiga orang sahaja yang akan menjaga bilik kawalan utama untuk sekali waktu shift. Bayangkan betapa besarnya tanggungjawab mereka bagi memastikan air yang dirawat adalah benar-benar selamat untuk diminum ianya diperincikan dari sudut pH iaitu 6.5 hingga 9, tahap kekeruhan, warna, kandungan aluminium, ferum, ammonia, manganese, klorin dan florin yang mana diperlukan dalam tubuh badan kita. Ianya sudah pun ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Walaupun air dikategorikan sebagai  'non living things' dalam sains, namun ia tetap dikategorikan sebagai makhluk Allah yang tidak pernah ingkar suruhan Tuhannya.

Asy-Syu'ara:  63

"Lalu Kami wahyukan kepada Musa, "pukullah laut itu dengan tongkatmu." Maka terbelahlah lautan itu, dan setiap belahan seperti gunung yang besar."

Air patuh suruhan Allah demi menyelamatkan Nabi Allah Musa a.s.

begitu juga dalam Firman Allah yang lain dalam surah Fussilat: 39

"Dan sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran)Nya, engkau melihat bumi itu kering dan tandus, tetapi apabila Kami turunkan hujan di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya pasti dapat menghidupkan yang mati; sesungguhnya Dia MahaKuasa atas segala sesuatu"

Air itu makhluk Allah yang turun dan membasahi bumi dan menjadi sumber kepada makhluk Allah yang lain untuk terus hidup. Maka dengan itu, kita sebagai makluk Allah yang mempunyai akal fikiran yang cerdik seharusnya menggunakan air dengan sebaiknya. Jika kita pandang air sebagai makhluk Allah, maka kita akan rasa bertanggungjawab untuk menggunakannya dengan berhemah.

Bukan sekadar soal integriti, tapi Nabi sudah mengajar kita untuk berjimat ketika menggunakan air. Bukankah nabi pernah menegur seorang sahabat yang membazir ketika berwudhu' walaupun dengan menggunakan air sungai yang mengalir.

Oleh itu para pembaca sekalian, sayangilah air sebagai makhluk Allah yang amat berjasa kepada kita. Insya Allah semoga hidup kita diredhai sentiasa..:)





07 October 2012

kosong

Hampir sejam saya melihat skrin laptop. Cuba untuk menulis. Tapi hampa. Otak dan minda diperah namun, hampa. Mood cuba diseru dengan pelbagai jampi, namun juga hampa..

Saya cuba menulis ketika masa benar-benar diperuntukkan untuk menulis. Tapi jelas hampa. Saya cuba menulis ketika idea tiada, hasilnya hampa. Saya juga cuba menulis ketika mood tiada. Nyata semuanya sia-sia.

Maka matlamat untuk menulis gagal sama sekali. Hanya satu yang tercapai. Iaitulah mengibas habuk di blog ini. Sekian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...