• RSS

17 April 2012

Diari Cikgu 4

Assalamualaikum wbt..

sekadar coretan ringkas sebelum melelapkan mata. Rentetan daripada post di facebook sebelum ini,

"Ok kelas, nota kat papan hitam ni, memang untuk perhiasan je. tak perlu salin ye. latihan ni pun tak payah buat. tengok je. kamu mesti dah hebat kan?! dan saya mengajar di depan ni pun, kamu tak perlu dengar. anggap jelah saya tak wujud kat dalam kelas ni. Memang itu tujuan kamu semua sekolah kan?"

#agak-agak kalau cakap macam ni kat anak murid esok, apa respond mereka ye ?


Ramai yang memberikan komen yang baik serta cadangan yang bagus. Tidak kurang juga kata-kata berbentuk nasihat apa yang diperlukan sebagai seorang guru yang baru bertatih macam saya. Sengaja saya ingin mewujudkan perasaan melakolik dalam kelas. Tapi, kaedah ini belum lagi saya cuba. Saya tidak mengharap untuk menjadikan ia realiti kerana bagi saya ini adalah pilihan terakhir.

kisah di kelas hari ini, sebelum ke kelas, saya betulkan niat. Cuba untuk menjadi positif semampunya. "hari ini, aku tak nak marah dalam kelas 4 C (bukan kelas sebenar)"

Tiba waktu, saya masuk dengan wajah ceria. Cuba menyabarkan diri untuk tidak melenting apabila melihat beberapa orang pelajar masih tidur ketika salam dijawab beramai-ramai.

"Ok kelas, sebelum ni kita belajar apa?" cuba ingin melihat ingatan pelajar dalam kelas minggu lepas.

"gabungan operasi set." jawab seorang pelajar.

"Ok. Bagus! ada yang ingat. So, maknanya, kita dah habis tajuk set minggu lepas. Jadi hari ini kita masuk tajuk baru iaitu Penaakulan matematik ataupun in english we call mathematical reasoning."

sesetengah pelajar menganga.

"Ok. sekarang, perhatikan apa yang saya buat." saya mulakan tajuk baru. Saya baling pemadam papan hitam ke belakang kelas. Semua pelajar saya senyap dan menoleh ke belakang. Mungkin menjangkakan ada  yang menjadi mangsa balingan. tapi sebenarnya itu sekadar balingan kosong.

"Sekarang saya nak tanya, logik atau tidak kalau saya katakan, pemadam papan hitam itu bercakap.?" saya mulakan set induksi untuk menarik minat pelajar dalam topik ini.

" logik cikgu"  jawab seorang pelajar sambil tersengih-sengih ingin menduga saya barangkali. Pelajar itu saya abaikan.

" tak logik cikgu!!" majoriti daripada kelas menjawab.

"Ya bagus. sememangnya semua objek yang tidak hidup, semuanya tidak boleh bercakap. Ilmu logik inilah yang kita akan belajar dalam tajuk ini.Kita akan belajar bagaimana ingin menentukan logik dari sudut matematik." saya menerangkan sedikit lebar.

Pelajar yang tidur sudah bangun terpisat-pisat. pelajar yang lain mula membetulkan duduk dan membuka buku teks.

maka bermulalah sesi pengajaran hingga akhirnya..

Hari ini saya merasakan sangat selesa mengajar. Tiada satu pun perkara yang menyakitkan berlaku. Di celah-celah sesi pengajaran, sempat saya bertanya seorang pelajar yang selalunya 'nakal' ketika saya mengajar.

" Kenapa saya rasa kelas hari ini ok ye?"
"Cuba cikgu tengok siapa yang tak datang hari ni?" jawab pelajar tersebut berwajah selamba.
"tapi saya tengok, awak pun selalu buat hal juga kalau saya mengajar bila ada mereka." saya cuba ingin melihat respondnya.
"saya kan kawan baik diorang cikgu, saya mesti layan diorang cikgu. Kalau tak, nanti ada yang terluka..." jawab pelajar itu dengan tersengih.

Adeyh.. pelajar ini sangat baik hari ini. Jelas, jiwanya sememangnya ingin belajar namun, apabila adanya pelajar 'parasit' yang menghasut untuk tidak menghiraukan saya ketika mengajar, maka dia terpaksa melayan demi 'semangat ukhuwwah yang tidak bertempat" ini.

Aduhai anak-anak muridku, cetek benar fikiran mereka. Sanggup memusnahkan diri sendiri demi persahabatan parasit ini..

"Ok, terima kasih kelas!! " saya mengakhiri kelas.

"Teeeriimaaa kaaasiiih cikgu!" sambut satu kelas.

Sebelum melangkah keluar, hati saya sedikit berbunga kesyukuran apabila sempat menangkap kata-kata seorang pelajar

"Giler ah.. selalunya aku tak sabar-sabar bila lah nak habis matematik. tapi hari ni, tak rasa pun macam belajar matematik. tahu-tahu dah habis kelas...."

Semoga 10 minggu yang berbaki benar-benar mentarbiyah saya untuk menjadi seorang murobbi. Ameen ya Rabb!! Mohon doanya ya.. ^_^


04 April 2012

Andai Aku di sisiMu



Lirik Lagu Andai Aku Di SisiMu – Hafiz Hamidun

Pada-Mu saja
Aku mengadu
Resah gelora
Yang menghempas kalbu
Terasa berat
Namun apa daya ku luahkan
Walau sarat terasa malu pada-Mu

Akulah insan
Yang berjuta dosa
Tiada mengenang
Erti kesalahan
Berkali-kali
Terus masih terulang segala kesilapan
Meski ku tahu pedihnya..


Masihku disini terantai nubari
Detik nadi bagaikan terhenti
Andai aku di sisi rahmat-Mu
Berhakkah ku ulang masa lalu

Ya Allah semoga daerah ini daerah barokah tempat aku lebih mendekati diriMu..

03 April 2012

Diari Cikgu 3





Assalamualaikum wbt.. Selawat dan salam buat baginda Rasulullah saw serta ahli keluarga baginda.
Allah yang mempunyai sifat Maha Bijaksana itu sememangnya kaya mempunyai segala-gala jenis ilmu. Antara ilmu yang tidak mungkin dimiliki oleh manusia biasa ialah ilmu mengenai masa akan datang. Seawal sesaat selepas ini pun, kita tidak pernah tahu apa yang akan terjadi pada diri kita sama ada baik atau buruk. Apatah lagi jika kita berfikir siapa kita 10 tahun yang akan dating. Memang, kita adalah pelukis yang mencorak masa depan. Namun, dengan kudrat yang sangat terbatas ini sungguh tidak mampu mengalahi peratus besar ketentuan yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala. Selayaknya kita hanya perlu berusaha semampunya, berdoa dan bertawakal kerana Maha Penentu itu mempunyai Rahmat yang terlalu banyak buat hambanya..

Di awal perkenalan saya dengannya, tidak menyangka sungguh dia peramah begini. Sekadar bertegur sapa di fakulti itu biasa. Hinggalah kami bertukar nombor telefon sebelum bermula latihan mengajar di UTM.
Setelah segala usaha pencarian rumah sewa berakhir, kami berpakat untuk berkongi menyewa bilik. Itu sahaja jalan yang dirasakan terbaik untuk orang yang tidak berkenderaan seperti kami, faktor jarak rumah dengan sekolah itu perkara wajib yang perlu diambil kira.

Baru dua minggu mengenali dirinya, kami sudah berkongsi pelbagai perkara. Keluarganya 5 orang adik beradik. Anak ketiga. Suka warna ungu tapi banyak baju kurung warna coklat (my favourite). Agamanya Kristian. Rajin beribadah. Sebelum tidur dibaca buku agamanya. Setiap ahad wajib ke gereja. Jumaat ini katanya, good Friday. Maka dia akan berpuasa daripada memakan makanan pepejal.

Kami banyak persamaan. Minatnya kepada buku-buku motivasi dan suka menulis.

Menariknya dirinya yang tidak suka alkohol dan daging khinzir. Sangat memahami kebajikan saya yang tidak makan makanan yang diragui kehalalannya seperti kedai kek dan restoran Cina. Hatta ketika membeli mee segera, dia terlebih dahulu memeriksa tanda halal untuk saya.  

Agama kami berbeza. Bangsa kami juga berbeza. Tapi kami percaya adanya Tuhan yang menciptakan segala makhluk. Setiap kebaikan yang dibalas dengan kebaikan, usaha yang menjanjikan kejayaan dan kesusahan yang ada kesenangan. Dia percaya Jesus itu mati pada hari jumaat dan hidup semula pada hari ahad. Dan saya percaya nabi Isa itu akan turun ke dunia ketika menjelang tibanya hari kiamat. Kami juga percaya keburukan seseorang itu bukan melambangkan agamanya.  

Kata paderi di gerejanya, “ Orang yang mengaku dirinya Kristian tetapi tidak patuh kepada agamanya itu, maka dia bukan seorang Kristian”

Saya turut menyokong,” Sama juga seperti Islam. Tidak semua Orang Islam kini mengamalkan Islam sepenuhnya. Contohnya seperti anak murid saya yang mengaku tidak solat zohor kerana penat”

Seumur hidup saya, belum pernah saya mempunyai rakan berlainan aqidah serapat ini. kami saling menghormati agama masing-masing dan berusaha untuk menjadi hamba yang patuh pada agama masing-masing.

Kami menggelengkan kepala bersama-sama. Masing-masing memikirkan masalah umat.
Semoga tempat bermustautin ini menjadi daerah barokah seperti yang diharapkan. Insya Allah.

31 March 2012

Diari Cikgu 2


Minggu Kedua (26-30 March 2012)

Assalamualaikum. Selawat dan salam atas junjungan besar buat Rasulullah saw serta ahli keluarga baginda.
Sabtu 24 march, saya dan Yong diminta untuk mengiringi murid tingkatan 6 dan 5 untuk ke Persada, JB. 

Pulangnya sudah lewat malam. Penat. Hari ahad dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat dan membuat persediaan rapi Lesson Plan, Teaching Aid dan Content. Lewat malam juga baru siap segala persediaan.
Isnin saya masuk kelas pertama. Dua masa. 1 jam 10 minit. Selesai mengenalkan diri, semua murid diminta pula mengenalkan diri. Nama dan cita-cita. Saya catatkan di sebelah nama mereka dalam senarai yang saya ada. ‘mencuri’ idea daripada Prof Dr Muhaya supaya memanggil nama murid dengan cita-cita mereka seperti Doktor, Cikgu dan sebagainya. Pelajaran bermula dengan baik. Suara dikuatkan sehabis baik apabila murid di belakang memberi isyarat tidak jelas. Alhamdulillah murid-murid memberi kerjasama yang sangat baik.

Satu waktu sebelum balik, saya ada lagi satu kelas bersama kelas ketiga dalam ranking. Bermula daripada awal perkenalan hingga tamat sesi pengajaran pelajar sangat bising. Suara saya tidak mampu mengatasi kebisingan tersebut.

Habis kelas, air diminum sebanyaknya membasahkan tekak yang betul-betul kering. Post-mortem dibuat bersama-sama guru pembimbing. Strategi baru disusun demi mengambil tempat di hati murid.
Hari selasa dan berikutnya, pengajaran bertambah baik. Namun, masalah baru pula timbul. Murid di kelas ketiga sudah sembuh bisingnya, perhatian juga sudah diberikan, arahan juga sudah dipatuhi. Tapi pelajar di kelas pertama pula memberi masalah. Saya faham. Mengapa mereka begitu. Muridnya kurang memberi respond. Apabila ditanya, senyum sahaja. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. Tanda malu untuk mengaku tidak faham. Situasi ini sebenarnya biasa berlaku apabila pelajar di kelas pertama malu untuk mengaku tidak faham kerana di kotak fikirannya hanya menganggap “terok betul! Senang macam ni pun tak boleh faham” jika dirinya ingin bertanya soalan.

Makanya, di akhir kelas itu jumaat tadi saya membuat post mortem bersama murid. Apakah cadangan mereka untuk saya mengubah cara pengajaran demi memberi kefahaman yang hakiki buat mereka. Dan Alhamdulillah saya sudah temui jawapannya..

Allahuakbar.. baru dua minggu bergelar cikgu, sudah bermacam-macam ilmu yang saya dapat. Bermain dengan manusia ni, cabarannya lebih banyak berbanding enjinair dan lain-lain. sungguh!
Buat yang melewati entri ini, jangan lupa doakan saya yang sedang menjalani latihan mengajar ini semoga baik-baik sahaja semuanya. Ya Allah, mudahkanlah aku belajar dan mengajar. Sesungguhnya ilmu itu semuanya dating daripadaMU..

Nota:
1.      Nantikan entri khas mengenai roommate..
2.      Esok saya akan menghadiri LDP (Latihan Dalam Perkhidmatan) di sekolah. Entah LDP tu apa, saya pun tak tahu
3.      Minggu depan jadi ajk NADWAH dan kepimpinan peringkat sekolah.
4.      Masa sudah semakin sedikit. Insya Allah semoga kesibukan ini kesibukan hamba mencari redha TuhanNya. J


Diari Cikgu 1


Minggu Pertama (19-23 march 2012)

Bismillah. Alhamdulillah wa syukrulillah..
Selawat dan salam atas junjungan besar Rasulullah saw serta ahli keluarga baginda..

Hati berdebar bukan kepalang. Baju sudah digosok kemas. Tudung pun dah disediakan sesuai padan dengan bajunya. Surat pemberitahuan LM juga sudah dimasukkan ke dalam fail. Tanda nama sudah diletakkan di tempat yang sesuai supaya esok, tidak terlupa untuk memakai. Malam menjelma, mata masih belum mahu tidur. Membayangkan perkara-perkara positif sebagai doa untuk hari esok. Insya Allah semuanya baik-baik sahaja.

Bangun dengan segar, bersiap seadanya. Kasut sedikit tumit disarung menambah tinggi diri yang agak rendah. Fail dirapatkan ke dada. Beg tangan disangkut di bahu kanan. Bismillah.. kaki memulakan langkah. 10 minit masa berjalan dari rumah ke sekolah. Masuk sahaja pintu sekolah, sememangnya menjadi perhatian ramai pasang mata. Daripada guru hinggalah murid. Maklumlah, melihat wajah asing yang lagaknya seperti sebahagian daripada warga sekolah.

“eh,eh.. cikgu barulah…” bisik seorang murid.
“pheeeeewit…” siulan menguji.

Langkah dipercepatkan ke pejabat sekolah supaya lebih selamat. Surat ditunjukkan tanda meminta restu. Kerani membawa kami ke tapak perhimpunan. Duduk di barisan kedua dari hadapan, memenuhi kerusi kosong. Berada di hadapan hampir 900 orang pelajar. Muka dimaniskan sehabis baik dengan harapan menidakkan pandangan negatif warga sekolah.

Usai perhimpunan, Tuan Pengetua meminta kami menuggu di pejabatnya. Kami akur.
Masuk ke dalam pejabat pengetua, kami berbual mesra. Pengetua mengalu-alukan kedatangan kami dan menceritakan latar belakang murid-murid di sekolah tersebut supaya kami bersiap sedia merancang strategi penyampaian pengajaran. Murid bermasalah berpunca daripada masalah keluarga. Bukan sahaja ekonomi  malah juga institusi kekeluargaan.

Seminggu ROS dihabiskan dengan melawat, menghafal dan mengambil gambar tempat-tempat penting dalam kawasan sekolah. Terutama sekali kelas.

Seminggu ini juga kami mencari kesesuaian ruang untuk bernafas. persekitaran yang baru, udaranya juga baru. jadi segala persiapan mesti disediakan. Mental dan fizikal. Supaya nanti tiada yang sakit-sakit dek kerana dibaham persekitaran yang baru. (Oh tidak..ayat apa la aku buat ni)

Dalam pemerhatian seminggu ini tidak banyak yang saya pelajari mengenai murid-murid melainkan gurunya. Biasalah.. macam-macam ragam. Hakikat kepelbagaian sikap manusia bergelar guru. Baik atau buruk sebenarnya masing-masing mahukan yang baik. Tapi faktor luaran dan dalaman itulah yang membawa kepada keburukan. Namun siapalah kita untuk mengatakan sia-sia bagi jerit payah seharian mereka mendidik anak-anak untuk mencapai kejayaan.

Jadual waktu sudah diterima. Menunggu masa masuk ke kelas minggu hadapan..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...