• RSS

04 May 2012

Diari Cikgu 7 (versi cerpen)

Manik-manik peluh di dahi mula merinik jatuh. Meleleh laju ke pipi kanan dan kiri. Dikesat cepat dengan bahu kanannya. bahu kirinya terkaku kerana berat menggalas beban sebuah beg yang sarat dengan beberapa buah buku. Manakala tangan kirinya pula memegang erat tiga buah buku lain.

Lelaki Cina itu berjalan perlahan ke arah pintu. Menarik tombol pintu rapat ke rusuk kanan. Mukanya dimaniskan semanis kurma. Tarikan utama pesan majikannya. Sekalian mata yang berada di bilik itu cepat-cepat melarikan pandangan. Seolah-olah seperti melihat hantu. Masing-masing bergegas pantas bagaikan lipas tercabut sayap.

Seorang Guru Cina lelaki. Jarinya yang sedari tadi menari di papan kekunci komputer ribanya semakin rancak tariannya. Seorang Guru Melayu perempuan. Tangannya cekap memandu pen sedang menulis, juga semakin laju gerakannya. Dua orang Guru Perempuan Cina berusia 30-an yang sedang asyik bersembang, semakin rancak ceritanya. Malah dibuka-buka pula cerita baru. Entah bila akan habis.

Lelaki Cina itu sedar perubahan yang berlaku. Tetapi dicekalkan juga hatinya. Ditebalkan juga mukanya. Dia berjalan dengan langkahan positif dan yakin. Walaupun dia sudah mampu menjangkakan apa tindak balas yang akan diterima. Dia mendekati Guru Cina lelaki. Dengan bersungguh dia menunjukkan buku yang dipegangnya. Dipromosikan sehabis baik. Diceritakan segala kelebihan. daripada reka bentuk, peribadi penulis, hinggalah kerugian yang akan ditanggung jika tidak mendapatkannya. Seolah-olah tanpa buku rujukan Sains yang ditunjukkan itu, kaburlah masa depan pelajar sekalian.

Belum pun sempat lelaki itu membuka begnya untuk mengeluarkan buku yang lain, guru tersebut berkata," tak apa! saya dah ada banyak koleksi buku rujukan."

"Ok. tak apalah. Terima kasih cikgu!", sambut lelaki itu dengan wajahnya yang masih tersenyum seperti tadi. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Dengan mata yang masih dipaku di hadapan monitor, guru itu menjawab," sama-sama."

Sasaran seterusnya ialah guru melayu perempuan.

"maaf cikgu, saya mengganggu. Saya ada beberapa bu..."

"Eyh, tak apa. tak apa! Saya dah ada banyak. Semalam baru datang seorang jual buku macam awak. Pun saya tak beli juga. Sebab saya dah ada banyak..."

Belum sempat lelaki cina itu menghabiskan ayat, guru perempuan itu sudah memotong.

"tapi cikgu, buku saya ni, lebih update." dia mencuba nasib. Manalah tahu guru perempuan ini berubah hati.

"Alah, semua buku sama saja isinya. Oklah, saya ada kelas ni. Saya pergi dulu..", pintas guru itu sambil mengemaskan buku dan terus meninggalkan lelaki cina termangu-mangu.

Riak sedih yang cuba hadir, cepat ditahan. Dibetulkan bibir untuk menguntum senyuman yang dibuat-buat. Jelas kelihatan palsunya.

Sasaran terakhir dua orang guru perempuan cina berusia 30-an. Jarak lelaki cina itu dengan mereka hanya kira-kira tujuh meter sahaja. Dia melangkah laju kearah mereka dengan harapan, ada rezeki hari ini. Sekurang-kurangnya terjual sebuah buku pun jadilah. Baru beberapa sahaja langkah, dua orang guru perempuan cina itu sudah bangun daripada tempat mereka.
"Eyh, jom pergi kantin. Saya laparlah." ajak seorang daripada mereka.
"jom! cepat sikit..", balas rakannya..

Lelaki itu berasa kecewa. Dia hanya melihat mereka berlalu begitu sahaja. Langkahnya kaku. Dilihat sekitar kawasan bilik guru itu, tiada lagi yang berpotensi dijadikan sasarannya. Hatinya kian bimbang. Apa agaknya respond majikannya nanti apabila dilaporkan tiada satu pun buku yang berjaya dijual pada hari ini. Kali ini, dahinya berkerut. Tiada lagi senyuman dibibirnya. Keluhan berat dilepaskan.

Sebelum dia melangkah keluar dari bilik itu, sempat dia menjeling sebuah meja berpenghuni di tepi pintu itu. Seorang guru perempuan praktikal melayu melontarkan senyuman kepadanya. Bukan senyuman menggoda tetapi senyuman semangat. Tersirat mesej senyap memujuk supaya lelaki itu terus berusaha mencari rezeki. Biarpun dia bukan seagama dan sebangsa dengannya, namun guru itu sangat memahami perasaannya.  Lelaki itu hanya membalas dengan senyuman hambar. Sambil jelas keluhannya dilepaskan dan tangannya menolak daun pintu seluasnya-luasnya segera ingin keluar dari tempat yang dirasakan malang itu.




03 May 2012

Diari Cikgu 6

"Weyh, pegi mampus la BN kau tu! dah la ada cina, india, kafir semua masuk parti kau!", maki Bakhtiar.
"Hoi, kau kutuk kerajaan. Habis kau tu sekarang sekolah kerajaan ke swasta?!". bentak Siti.
"Pergi mampus la! kerajaan yang ada sekarang ni, menipu. Dah la barang naik selalu!," pertahan Kimie.
"Kau la mampus! dah la Bersih 3.0 hari tu menyusahkan orang. sesak semua jalan. Buat kacau je!"balas Wan menambah isu.
"Kau tu dah la tolak Islam. Pas Parti yang mengamalkan Islam. Cuma orang bodoh je yang tolak Islam." Bakhtiar kembali bersuara.
"kau tu Parti Ajaran Sesat!" balas Wan.

"hidup BN!" suara di belakang.
" PAS!PAS!dan PAS!, suara di hadapan.

"sudah! diam! nak jadi kerajaan ke, pembangkang ke, Perdana Menteri ke, Matematik ni, kena lulus dulu. Minggu depan dah exam. Dengar saya ajar ni!" saya cuba menenangkan.

mereka smeua senyap. Tapi sekejap. Sepanjang sesi pengajaran, ada lagi bunyi-bunyi sayup mereka berbisik.
 "PAS!"
" UMNO!

Saya tahu ini bukan caranya untuk menenangkan mereka. Namun, untuk menjelaskan siapa itu kerajaan dan siapa itu pembangkang? apa itu PAS dan apa itu BN dan apa itu BERSIH? juga bukan sekarang masanya. Silibus perlu dihabiskan hari ini juga kerana minggu depan, mereka bakal duduki peperiksaan pertengahan tahun. 

Di akhir sesi, dengan beraninya, seorang daripada penyokong PAS tegar bertanya kepada saya, 
"cikgu, cikgu sokong PAS kan?"

saya hanya diam. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. Apa yang membuatkan dia begitu yakin? Owh.. saiz tudung kot..

Mereka yang terlibat ini, merupakan pelajar-pelajar 'top' dalam kelas saya. Nota yang disalin tidak pernah lengkap dan selalu main-main ketika saya mengajar. Tapi hari ini, mereka begitu semangat dalam membincangkan soal kerajaan dan pembangkang. Walaupun hujah-hujah yang tidak bernas digunakan. Dan mereka pun bukanlah golongan yang hadam setiap isu yang berlaku. Tapi, pada saya, ia adalah satu perkembangan positif bagi remaja seusia mereka yang masih belum pun layak untuk mengundi. 

Sekurang-kurangnya mereka terselamat daripada virus kuno AKU TIDAK PEDULISME! Bukan seperti sesetengah golongan tu, kononnya bangga sudah berada di universiti. Golongan intelektual tak malu menggelar diri sendiri. Kononnya mahu berlepas diri. "Aku tak suka politik-politik ni!Lebih baik aku fokus study." Eyh, budak sekolah pun garu kepala tengok abang dan kakak dia macam ni!  

nota:
1. nama watak bukan nama sebenar.
   

Diari Cikgu 5

Hari ini saya bangun awal seperti biasa. Tapi masih lewat ke sekolah kerana 'speed' pergerakan saya yang sedikit lambat. Bukan lewat sehingga perhimpunan sudah bermula. Sekadar lewat 5 minit daripada hari sebelumnya. Saya tiba jam 7.08. lagi 2 minit sebelum perhimpunan dimulakan iaitu 7.10. Mungkin saya dikira awal dikalangan guru. Tapi saya masih merasa lewat memandangkan status saya hanyalah seorang guru pelatih.

Muka sudah merah menahan malu. Tangan menolak perlahan daun pintu. Kaki kanan melangkah masuk. Muka cuba dimaniskan walaupun sudah merah. GPK HEM dan GPK Akademik berbual-bual sambil memerhatikan pergerakan guru keluar masuk pejabat untuk 'punch-card'. Saya mengambil perlahan buku rekod kedatangan khas untuk ditandatangani. Menulis nama dengan laju supaya cepat beredar daripada tempat itu. Tiba-tiba sebelum menutup buku, telinga ini sempat menangkap bisikan perlahan GPK HEM " cikgu muda pun datang lambat, apatah lagi cikgu tua!"

Walaupun suaranya perlahan, tetapi telinga yang Allah berikan untuk saya ini memang cekap sifatnya. Kuat mencerap suara perlahan.

saya pura-pura tidak mendengar. Kaki melangkah keluar dengan hati sebal sambil berazam, ini yang terakhir!

nota:
1. Sengaja menulis perkara negatif di sini supaya Diari Cikgu saya kelihatan logik. Hidup bukan selalunya indah!

17 April 2012

Diari Cikgu 4

Assalamualaikum wbt..

sekadar coretan ringkas sebelum melelapkan mata. Rentetan daripada post di facebook sebelum ini,

"Ok kelas, nota kat papan hitam ni, memang untuk perhiasan je. tak perlu salin ye. latihan ni pun tak payah buat. tengok je. kamu mesti dah hebat kan?! dan saya mengajar di depan ni pun, kamu tak perlu dengar. anggap jelah saya tak wujud kat dalam kelas ni. Memang itu tujuan kamu semua sekolah kan?"

#agak-agak kalau cakap macam ni kat anak murid esok, apa respond mereka ye ?


Ramai yang memberikan komen yang baik serta cadangan yang bagus. Tidak kurang juga kata-kata berbentuk nasihat apa yang diperlukan sebagai seorang guru yang baru bertatih macam saya. Sengaja saya ingin mewujudkan perasaan melakolik dalam kelas. Tapi, kaedah ini belum lagi saya cuba. Saya tidak mengharap untuk menjadikan ia realiti kerana bagi saya ini adalah pilihan terakhir.

kisah di kelas hari ini, sebelum ke kelas, saya betulkan niat. Cuba untuk menjadi positif semampunya. "hari ini, aku tak nak marah dalam kelas 4 C (bukan kelas sebenar)"

Tiba waktu, saya masuk dengan wajah ceria. Cuba menyabarkan diri untuk tidak melenting apabila melihat beberapa orang pelajar masih tidur ketika salam dijawab beramai-ramai.

"Ok kelas, sebelum ni kita belajar apa?" cuba ingin melihat ingatan pelajar dalam kelas minggu lepas.

"gabungan operasi set." jawab seorang pelajar.

"Ok. Bagus! ada yang ingat. So, maknanya, kita dah habis tajuk set minggu lepas. Jadi hari ini kita masuk tajuk baru iaitu Penaakulan matematik ataupun in english we call mathematical reasoning."

sesetengah pelajar menganga.

"Ok. sekarang, perhatikan apa yang saya buat." saya mulakan tajuk baru. Saya baling pemadam papan hitam ke belakang kelas. Semua pelajar saya senyap dan menoleh ke belakang. Mungkin menjangkakan ada  yang menjadi mangsa balingan. tapi sebenarnya itu sekadar balingan kosong.

"Sekarang saya nak tanya, logik atau tidak kalau saya katakan, pemadam papan hitam itu bercakap.?" saya mulakan set induksi untuk menarik minat pelajar dalam topik ini.

" logik cikgu"  jawab seorang pelajar sambil tersengih-sengih ingin menduga saya barangkali. Pelajar itu saya abaikan.

" tak logik cikgu!!" majoriti daripada kelas menjawab.

"Ya bagus. sememangnya semua objek yang tidak hidup, semuanya tidak boleh bercakap. Ilmu logik inilah yang kita akan belajar dalam tajuk ini.Kita akan belajar bagaimana ingin menentukan logik dari sudut matematik." saya menerangkan sedikit lebar.

Pelajar yang tidur sudah bangun terpisat-pisat. pelajar yang lain mula membetulkan duduk dan membuka buku teks.

maka bermulalah sesi pengajaran hingga akhirnya..

Hari ini saya merasakan sangat selesa mengajar. Tiada satu pun perkara yang menyakitkan berlaku. Di celah-celah sesi pengajaran, sempat saya bertanya seorang pelajar yang selalunya 'nakal' ketika saya mengajar.

" Kenapa saya rasa kelas hari ini ok ye?"
"Cuba cikgu tengok siapa yang tak datang hari ni?" jawab pelajar tersebut berwajah selamba.
"tapi saya tengok, awak pun selalu buat hal juga kalau saya mengajar bila ada mereka." saya cuba ingin melihat respondnya.
"saya kan kawan baik diorang cikgu, saya mesti layan diorang cikgu. Kalau tak, nanti ada yang terluka..." jawab pelajar itu dengan tersengih.

Adeyh.. pelajar ini sangat baik hari ini. Jelas, jiwanya sememangnya ingin belajar namun, apabila adanya pelajar 'parasit' yang menghasut untuk tidak menghiraukan saya ketika mengajar, maka dia terpaksa melayan demi 'semangat ukhuwwah yang tidak bertempat" ini.

Aduhai anak-anak muridku, cetek benar fikiran mereka. Sanggup memusnahkan diri sendiri demi persahabatan parasit ini..

"Ok, terima kasih kelas!! " saya mengakhiri kelas.

"Teeeriimaaa kaaasiiih cikgu!" sambut satu kelas.

Sebelum melangkah keluar, hati saya sedikit berbunga kesyukuran apabila sempat menangkap kata-kata seorang pelajar

"Giler ah.. selalunya aku tak sabar-sabar bila lah nak habis matematik. tapi hari ni, tak rasa pun macam belajar matematik. tahu-tahu dah habis kelas...."

Semoga 10 minggu yang berbaki benar-benar mentarbiyah saya untuk menjadi seorang murobbi. Ameen ya Rabb!! Mohon doanya ya.. ^_^


04 April 2012

Andai Aku di sisiMu



Lirik Lagu Andai Aku Di SisiMu – Hafiz Hamidun

Pada-Mu saja
Aku mengadu
Resah gelora
Yang menghempas kalbu
Terasa berat
Namun apa daya ku luahkan
Walau sarat terasa malu pada-Mu

Akulah insan
Yang berjuta dosa
Tiada mengenang
Erti kesalahan
Berkali-kali
Terus masih terulang segala kesilapan
Meski ku tahu pedihnya..


Masihku disini terantai nubari
Detik nadi bagaikan terhenti
Andai aku di sisi rahmat-Mu
Berhakkah ku ulang masa lalu

Ya Allah semoga daerah ini daerah barokah tempat aku lebih mendekati diriMu..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...