• RSS

25 October 2012

9 Zulhijjah 10 Hijrah: Khutbah Terakhir Rasulullah saw

Assalamualaikum wbt..

Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw. Bersyukurlah kerana dengan titik darah dan penat lelah bagindalah kita semua mampu menjadi seorang Islam saat ini.

9 Zulhijjah. Tarikhnya diketahui umum sebagai hari Arafah. Maka di dinding-dinding facebook dan laman sosial yang lain lahirlah jutaan pendakwah yang menyebarkan tentang hadith dan fadhilat berpuasa pada hari arafah ini. Tidak ketinggalan juga yang menulis niat berpuasa serta maksudnya sekali. Tahniah diucapkan. Namun, tidak seharusnya kita lupakan satu lagi peristiwa penting yang berlaku ketika hari arafah pada 10 tahun Hijrah dahulu. Iaitulah khutbah yang terakhir yang disampaikan oleh Kekasih Allah, Nabi kita, Muhammad saw.

Sebelum saya meneruskan penulisan, izinkan saya untuk mengajak kita semua bermuhasabah. Memandangkan banyak riwayat hadith yang menyatakan fadhilat puasa ini kebanyakkannya adalah berkenaan pengampunan dosa, maka cuba tanyakan soalan-soalan ini kepada diri sendiri. Apakah niat sebenar untuk kita berpuasa sunat? Adakah kita benar-benar mengharapkan keampunan daripada Allah? atau kita sebenarnya mengharapkan puasa sunat ini sebagai 'instant repent' untuk dosa yang kita telah atau bakal lakukan?

Maaf, saya bukan golongan anti-hadith yang menafikan fadhilat berpuasa sunat hari arafah.

Jawapan yang mungkin anda berikan ialah:

"Apa salahnya kita merebut pahala puasa sunat? Kita sebagai manusia yang selalu berbuat khilaf, mestilah selalu mencari peluang untuk menambah pahala dan cara untuk menghapus dosa kan?"

Ya. Memang betul. Tapi, sejauh mana kita berusaha untuk mengamalkan cara hidup Islam dalam diri kita? dan sejauh mana kita bermujahadah untuk menghindari diri daripada melakukan dosa? Berapa kalikah kita melafazkan kata-kata taubat kepada Allah swt?

Apa yang dimaksudkan dengan 'instant repent' ialah apabila seseorang itu sudah jelas terang dan nyata lagi bersuluh melakukan dosa seperti berzina, membuka aurat, dan sebagainya lalu dia berpuasa sunat hanya dengan melihat kepada fadhilat puasa ini mampu menghapuskan dosa-dosanya dengan segera. Mungkin juga terpengaruh dengan cara pemikiran generasi Y yang semuanya mahu disegerakan. Termasuklah dari sudut pengampunan dosa?? Astaghfirullahalazim..

sedangkan inti taubat itu haruslah penuh dengan penyesalan, tangisan, taubat menghina diri, dan keazaman untuk tidak mengulanginya lagi.

Sahabat-sahabat sekalian, marilah kita menghayati kisah menyayat hati khutbah Rasulullah saw pada 9 Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

"Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak hadir di sini pada hari ini."

Rasulullah sememangnya sudah dapat merasakan hajinya pada tahun itu adalah yang terakhir. Suasana sepi. Para sahabat sudah berasa sayu. Mereka sedar, tubuh mulia di hadapan mereka ini bakal meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Suasana suram mula menyelubungi. Semua diam untuk mendengar setiap patah mutiara yang bakal keluar dari mulut kekasih Allah ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas  segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan semi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.


Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.


Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Tawa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.


Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. itulah Al-Quran dan Sunnahku.


Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampakan pula kepada orang lain. semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan RisalahMu dan kepada Hamba-hambaMu. 


Dan sekarang, cuba tanyakan soalan ini kepada diri kita. Sudahkah kita menyempurnakan wasiat nabi yang terakhir ini dalam kehidupan kita? Adakah kita benar-benar mengamalkan apa yang sudah terpatri dalam Al-Quran dan Sunah? Ini adalah antara soalan umum sebagai muhasabah.

Dan mari kita tanyakan soalan yang lebih khusus kepada diri kita. Kita yang mengaku Umat Rasulullah yang kononnya menggelar diri sebagai pendakwah ini, sejauh manakah kita mengajak masyarakat Islam di tempat kita untuk kembali ikut perintah Allah? Kita yang mengaku nuqaba' ini, sejauh manakah kita tidak culas dalam melaksanakan usrah? Kita yang kononya menggelar diri sebagai amilin, jundullah ini sejauh manakah kita berlumba-lumba untuk menjadi AJK program jema'ah? Kita yang mengaku sebagai pemimpin ini, sejauh manakah kita melaksanakan amanah yang benar-benar ditaklifkan?

Teruskanlah hidup ini wahai sahabat-sahabat. Teruskan kehidupan ini dengan kelalaian. Teruskan sikap bermalas-malasan antum dalam jema'ah. Teruskan sikap menangguh-nangguh kerjamu wahai para amilin. Teruskan sikap antum yang culas dengan masa.Teruskan sikap antum yang sukakan hal-hal 'gosip baitul-muslim' itu berbanding gerak kerja jema'ah. Teruskanlah dengan 'tabiat-tabiat selesa membuang masa' yang antum buat sekarang. Teruskan sikap egomu wahai yang mengaku pemimpin.

Teruskanlah!

Lihatlah ke kanan dan kiri, lihatlah dalam diri kita, keluarga kita, rakan-rakan kita, masyarakat sekeliling kita, pemimpin kita, apakah keadaan mereka sekarang? Sudahkah mereka Islam dengan sepenuhnya? Jika belum, apakah yang telah kita lakukan dengan tangan dan lisan kita untuk mengamalkan amal makruf dan nahi mungkar?

Persoalkanlah dalam hati kita. Hanya kita sendiri yang mampu menjawab soalan tersebut.

Maaf salah silap. Sama-sama kita bermuhasabah. Saya penulis berdosa terpaksa menulis semua ini kerana tidak mahu antum semua turut berdosa seperti saya.

Wallahu'alam.



22 October 2012

Air

Dengan Nama Allah Yang maha Pemurah lagi maha Penyayang..

Selawat dan salam atas junjungan besar nabi Muhammad, Rasulullah saw..

Tempoh hari, saya dan rakan-rakan 4SPM yang mengambil minor kimia seramai 10 orang telah ke Pusat Rawatan Air di SAJ, Kota Tinggi bertemankan Dr Alias selaku pensyarah untuk subjek Kimia Alam Sekitar SSC2223. Sebenarnya, lawatan ini adalah idea Dr Alias untuk melihat sendiri proses rawatan air yang dilakukan seperti yang dipelajari dalam kuliah teori. Jadi, dengan kersungguhan Dr untuk memberi kefahaman kepada kami, maka lawatan ini pun berlangsung dengan jayanya.

Pusat Rawatan Air SAJ di Kota tinggi ini mampu menyalurkan 318000 meter padu ke Johor Baharu, Pontian, Bukit Jelutong dan Skudai. Air yang disalurkan ini ialah berpangkalan dari Sungai Johor yang terletak di Kota Tinggi.

Proses merawat air yang bersalur terus daripada sungai ini tidaklah mengambil masa yang lama. Kira-kira 45 minit sahaja air itu dirawat maka ia sudah pun boleh digunakan dengan selamat iaitulah yang keluar daripada paip air di rumah kita.

mudah bukan?

Ya memanglah mudah kerana kita tidak pernah tahu disebalik tabir kesusahan para pekerja di pusat rawatan air ini. Walaupun proses rawatan ini bukanlah dilakukan secara manual, namun perincian untuk memastikan 'setting machine' bersesuaian dengan tahap kekeruhan atau kekotoran air sungai bukan mudah. En Halim selaku pegawai di pusat rawatan memberitahu hanya tiga orang sahaja yang akan menjaga bilik kawalan utama untuk sekali waktu shift. Bayangkan betapa besarnya tanggungjawab mereka bagi memastikan air yang dirawat adalah benar-benar selamat untuk diminum ianya diperincikan dari sudut pH iaitu 6.5 hingga 9, tahap kekeruhan, warna, kandungan aluminium, ferum, ammonia, manganese, klorin dan florin yang mana diperlukan dalam tubuh badan kita. Ianya sudah pun ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Walaupun air dikategorikan sebagai  'non living things' dalam sains, namun ia tetap dikategorikan sebagai makhluk Allah yang tidak pernah ingkar suruhan Tuhannya.

Asy-Syu'ara:  63

"Lalu Kami wahyukan kepada Musa, "pukullah laut itu dengan tongkatmu." Maka terbelahlah lautan itu, dan setiap belahan seperti gunung yang besar."

Air patuh suruhan Allah demi menyelamatkan Nabi Allah Musa a.s.

begitu juga dalam Firman Allah yang lain dalam surah Fussilat: 39

"Dan sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran)Nya, engkau melihat bumi itu kering dan tandus, tetapi apabila Kami turunkan hujan di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya pasti dapat menghidupkan yang mati; sesungguhnya Dia MahaKuasa atas segala sesuatu"

Air itu makhluk Allah yang turun dan membasahi bumi dan menjadi sumber kepada makhluk Allah yang lain untuk terus hidup. Maka dengan itu, kita sebagai makluk Allah yang mempunyai akal fikiran yang cerdik seharusnya menggunakan air dengan sebaiknya. Jika kita pandang air sebagai makhluk Allah, maka kita akan rasa bertanggungjawab untuk menggunakannya dengan berhemah.

Bukan sekadar soal integriti, tapi Nabi sudah mengajar kita untuk berjimat ketika menggunakan air. Bukankah nabi pernah menegur seorang sahabat yang membazir ketika berwudhu' walaupun dengan menggunakan air sungai yang mengalir.

Oleh itu para pembaca sekalian, sayangilah air sebagai makhluk Allah yang amat berjasa kepada kita. Insya Allah semoga hidup kita diredhai sentiasa..:)





07 October 2012

kosong

Hampir sejam saya melihat skrin laptop. Cuba untuk menulis. Tapi hampa. Otak dan minda diperah namun, hampa. Mood cuba diseru dengan pelbagai jampi, namun juga hampa..

Saya cuba menulis ketika masa benar-benar diperuntukkan untuk menulis. Tapi jelas hampa. Saya cuba menulis ketika idea tiada, hasilnya hampa. Saya juga cuba menulis ketika mood tiada. Nyata semuanya sia-sia.

Maka matlamat untuk menulis gagal sama sekali. Hanya satu yang tercapai. Iaitulah mengibas habuk di blog ini. Sekian.

21 September 2012

Tudung; tidak cukup dengan labuhnya.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Tudung. 

Tudung tidak wajib dipakai, yang wajib ialah menutup aurat. Jika mengikut uruf dan adat, wanita islam di dunia memakai tudung bagi menutup aurat. Tidak pula menggunakan baldi dan menebuk lubang untuk mata juga bukan dengan menyarung tudung saji di atas kepala.

Tudung yang bersyariat ialah tudung yang menutup dada. Maksudnya ia labuh menutup dada dan dijamin tidak terselak ketika ditiup angin. Maka kerana itu, tudung yang terbaik ialah bidang 55 ke atas mengikut saiz individu tersebut. 

Fesyen yang begitu pesat, sememangnya menggugat iman semua wanita. Apabila datangnya musim tudung awning, pemakai tudung labuh juga tidak terkecuali. Tudung labuh yang ada dipasaran turut di'awning'kan. Kemudahan Islam yang tidak melarang umatnya berfesyen selagi tidak melanggar syarak sangat memberi kepuasan kepada muslimat. Lagi pula tudung awning ni sangat mudah untuk dipakai. Malah tidak perlu digosok lama seperti tudung biasa. 

Namun harus diingat, pemilihan jenis kain juga sepatutnya dititikberatkan. Ada jenis kain yang nipis apabila dipakai nampak bentuk telinga dan leher. 

Bagi yang berambut panjang, sila rendahkan sedikit ikatan rambut anda supaya ia tidak kelihatan seperti bonggol di belakang.

contoh sanggul

Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah boleh dicium dari jarak demikian dan demikian."(Riwayat Muslim).

Ya saya faham, sesetengah ulama' mengatakan bonggol unta yang dimaksudkan ialah sanggul yang sengaja dibuat-buat dan ditambah-tambah. Namun, apalah salahnya anda menyembunyikan sedikit bentuk sanggul itu demi menjaga rahsia kepanjangan rambut anda dari pengetahuan kaum adam khususnya. Jaga rahsia demi suami anda. Bukankah itu lebih sweet..? :)

Seterusnya ialah, solat. Antara kelemahan tudung awning ialah kebanyakkannya ia tidak praktikal untuk solat. Ada awning yang lembut ada juga yang keras. Bagi awning yang lembut, memang tiada masalah untuk digunakan ketika solat. Namun bagi awning yang keras, ia menghalang daripada dahi untuk mencecah lantai tempat sujud sedangkan dahi merupakan anggota wajib untuk menyentuh lantai ketika sujud. Solusinya ialah, salinlah dengan tudung biasa ketika anda menunaikan solat. 

contoh awning keras

ini link untuk dapatkan tudung yang berawning lembut  Ummie Tini Collection.

Entri ini bukanlah mengkritik tudung labuh awning. Ya tudung awning memang cantik, selesa, mudah dan senang dipakai. Namun, jika kita ingin solat dengannya, pastikan ia juga 'cantik' dari sudut sah solat kita. Ya. pakaian kita memang leceh sikit kerana kita begitu berharga..^^, 

Wallahualam. Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita.


 

20 September 2012

Its The Final Countdown

Assalamuaaikum wbt.. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Diam tak diam, sudah minggu kedua saya di UTM sebagai mahasiswa tahun akhir. Insya Allah, akhir. Blog yang kaku tanpa post menandakan saya benar-benar sibuk. Entri yang dikarang di dalam minda, tidak mampu dituliskan akibat kekangan masa yang sangat dahsyat. Dan akhirnya, apabila sampai masa yang sesuai untuk menulis di sini, akhirnya entri-entri itu hilang begitu sahaja. Aduh! Kerugian saya.

Sehari sebelum semester bermula, saya mengumpul segala semangat yang ada. Kata-kata nasihat emak dipaketkan rapi sebagai bekalan. Kata-kata Prof Dr Muhaya sentiasa dijadikan panduan. Saya bermuhasabah. Saya tidak mahu gagal lagi! Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Hidup perlu diteruskan. Cabaran perlu dihadapi!

Minggu pertama saya sibuk. Sibuk dengan urusan menguruskan satu subjek yang terpaksa saya repeat. Daripada urusan jadual yang clash, borang permohonan mengambil 20 jam kredit kepada Timbalan Dekan, dan pertukaran bilik kuliah. Ya memang letih. Memang cukup kesal untuk diingatkan atas kegagalan satu subjek ini, namun sampai bila ia harus dikesali. Saya bersyukur. Sungguh, memang benar-benar ada hikmah di atas setiap yang berlaku. Mana tidaknya, dalam subjek yang saya repeat ini, saya dipertemukan dengan penyarah yang sangat mantop. Kelas dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan tazkirah motivasi selama 5 minit. Cara beliau mengajar juga, subahanallah.. sangat bagus. penerangan yang sangat terperinci dan dikaitkan dengan alam sekeliling. Tidak ada niat langsung untuk saya membanding-bandingkan pensyarah yang lama dengan yang baru, namun saya hanya memuji dan tidak menyalahkan pensyarah diatas kegagalan saya.

Dan, dalam celah-celah keletihan itu, ada kegembiraan yang besar iaitu, tajuk PSM (Projek Sarjana Muda) saya telah diterima. Alhamdulillah..

Dan sekarang sudah berada di minggu kedua. Hampir tidak terasa masa yang berlalu.

Banyak sebenrnya yang ingin saya kongsikan, namun apakan daya, mungkin sudah berkarat di celahan minda dan sukar untuk dikeluarkan.

Mohon yang membaca entri ini mendoakan kejayaan saya di universiti tarbiyah ini. Berkat doa orang soleh seperti anda semua, Insya Allah makbul.. :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...