• RSS

20 May 2011

misteri Pulau Besar

Disember 1996

Mutiara-mutiara peluh sudah mula membasahi dahi. Kanak-kanak perempuan itu resah. Dia sekejap-sekejap memusingkan badan ke kanan dan ke kiri. Tidurnya terganggu kerana suhu di dalam khemah itu bukanlah suhu ideal untuk dia dibuai mimpi. Dia mengeluh. Tersedar di tengah-tengah malam begini sangat meresahkan jiwanya. Suhu yang ada menyegarkan matanya untuk tidak ngantuk.   Akhirnya dia duduk. Matanya meninjau segenap isi khemah semuanya kelihatan lena. Dia membetulkan duduknya dan mula memasang niat untuk keluar menghirup udara segar di waktu malam. Kepalanya sudah dijengukkan ke tingkap kecil khemah yang berada di atas kiri kepalanya. Sunyi. Gelap. Tangannya sudah hampir membuka zip pintu khemah.
Tiba-tiba, sayup-sayup di kejauhan dia terdengar sesuatu. Semakin lama suara itu semakin hampir. Dia bergegas menekup mukanya kembali di pembaringan. Niatnya untuk keluar dari khemah termati serta merta. Dia kaku terdiam. Mengamati suara tersebut.

Subhanallah walhamdulillah wa lailahaillallah wa allahuakbar… suara itu berulang-ulang kali. Kedengaran ia dizikirkan oleh kanak-kanak lelaki kira-kira seusianya. Dengusan nafasnya menunjukkan kanak-kanak lelaki tersebut sedang berlari anak. Lidahnya lancar melagukan zikir dengan bersungguh-sungguh.
Budak perempuan tadi menarik nafas lega kerana apa yang didengarinya bukanlah hilaian menakutkan sebaliknya zikir yang menenangkan. Dia khusyuk mendengar. Siapakah yang berani keluar bermain di pantai malam-malam begini? Sangat bersemangat budak lelaki itu berzikir. Semakin diamati, suara itu makin menjauh dan terus hilang. Dan matanya lena kembali.

Mei 2011

Menurut cerita orang-orang terdahulu, Pulau Besar telah mula didiami oleh orang selat atau orang laut pada sekitar tahun 1400 masihi lagi, iaitu sebelum Kerajaan Kesultanan Melayu Malaka ditubuhkan. Sejak ianya diterokai, Pulau Besar sudah pun berperanan sebagai pusat bekalan air bersih kepada para nelayan dan juga pedagang yang melalui Selat Melaka.

Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan banyak perigi lama yang dianggarkan berusia lebih ratusan tahun di sekeliling pantai Pulau Besar dan kedudukan perigi-perigi itu pula hanya beberapa meter dari kawasan pantai. Pulau Besar dikatakan mempunyai ratusan buah perigi, namun kebanyakkannya sudah tertimbus dan tidak boleh digunakan lagi.

Oleh kerana kedudukan pulau ini hanya terletak beberapa kilometer dari Pelabuhan Melaka, maka terdapat pedagang, pengembara dan pendakwah yang telah berminat untuk mendiami pulau ini. Antaranya adalah Syeikh Ismail yang digelar Sultan Ariffin dan telah didakwa penduduk tempatan dari keturunan Rasulullah SAW dari sanad Hussein bin Ali (Cucu Rasulullah SAW). Beliau bersama pengikutnya telah menetap di Pulau Besar dan membina sebuah penempatan kecil untuk menyebarkan ajaran Islam.

Selain Syeikh Ismail, pulau ini juga didiami Syeikh Yusuf As-Sidiq yang merupakan seorang Guru Sufi yang tinggi ilmunya serta menghafal beribu-ribu hadith Nabi Muhammad SAW. Tidak dapat dipastikan tahun kelahiran beliau namun beliau antara ulama yang turut serta di dalam rombongan Syeikh Ismail. Beliau merupakan guru kepada Syeikh Ismail. 


Nota:
1.       Sangat terkilan kerana saya tidak diberi keberanian untuk meninjau rupa kanak-kanak lelaki yang berzikir sambil berlari itu
2.       Saya yakin dia bukan kanak-kanak manusia biasa.


1 comments:

puteraduyong said...

wah...kira untung dapat dengar suara berzikir tu...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...