Elak SBP jadi pusat hasil pelajar robot
Oleh Shamsul Kamal Amaruddin dan Abu Bakar Al Sidek
2010/07/09
BAGAN DATOH: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, bertitah sekolah berasrama penuh (SBP) perlu mengelak tanggapan masyarakat bahawa ia menjadi pusat menghasilkan robot industri tanpa roh dan elemen kemanusiaan dengan memastikan kriteria pemilihan pelajar serta pengetuanya dinilai secara menyeluruh.
Baginda bertitah, syarat kelayakan pelajar ke sekolah itu harus merangkumi komponen kepemimpinan, sukan, seni dan penulisan yang dinilai secara setara.
Titahnya, pemilihan pengetua pula hendaklah daripada kalangan pegawai pelajaran yang memperlihatkan daya kepemimpinan dan kecenderungan dalam kegiatan bukan akademik
Baginda bertitah, penilaian ditumpukan semata-mata kepada pencapaian akademik serta keputusan peperiksaan adalah tidak seimbang dan tidak mencerminkan program pendidikan insan memenuhi falsafah serta roh pendidikan sebenar.
Sekolah berasrama penuh perlu memperkenalkan sasaran, di samping pencapaian akademik cemerlang. Setiap pelajar wajib menguasai satu bidang sukan sebagai pemain dan memahami undang-undang permainan serta turut menyertai secara aktif dalam satu lagi kegiatan bukan akademik sama ada persatuan, badan beruniform, penulisan, seni atau muzik, titahnya ketika merasmikan Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini, semalam. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun.
Sultan Azlan bertitah, membina roh kemanusiaan penting kerana apa yang sering berlaku adalah produk pendidikan yang mencerminkan berlaku jurang antara penguasaan dan penghayatan ilmu sehingga mereka yang berpeluang menguasai ilmu menyalahgunakannya untuk mencetuskan kerosakan.
Titahnya, sering kedengaran mereka yang melakukan pecah amanah urus niaga dan tidak mematuhi urusan kewangan sebahagian besarnya berkelulusan tinggi yang diberikan amanah menerajui organisasi besar.
Baginda bertitah, mereka tidak jahil ilmu dari segi peraturan kewangan, pelaburan yang telus, amalan audit serta undang-undang.
Bagaimanapun, titahnya, kelulusan yang tinggi dan ilmu dipelajari itu dimanipulasikan untuk memenuhi nafsu tamak serta niat haloba peribadi.
Untuk itu, adalah penting untuk memastikan program penyampaian ilmu digandingkan dengan nilai betul dengan pelajar diingatkan supaya memiliki nilai yang betul itu lebih mulia daripada mencapai gred peperiksaan yang tinggi, titahnya.
Nabi dulu Mazhab apa?
1 week ago
1 comments:
pentingnya nilai agama turut diterapkan dalam diri setiap insan...
Post a Comment