• RSS

27 December 2012

Ada orang tu, nak kahwin dah..:)

Bismillah wa Syukrulillah..

Hamizah baru sahaja menghantar mesej.

"walimah k.kina pijoe 9feb"

Saya terdiam. Disahkan lagi dengan invitation oleh bakal pengantin sendiri di fb.

Sebenarnya ini bukanlah lagi kejutan bagi saya. Kerana instinct saya selama ini sudah pun kuat mengatakan.

Tidak lama setelah saya klik going pada inivitation, bakal pengantin menelefon saya.

"Assalamualaikum, Linda..."
"Waalaikumsalam akak..."
" Linda, akak tak berniat nak tipu awak tau..."

saya tidak mampu berkata apa-apa. dada mula sesak. air mata mula berlinangan.

"Linda..awak nangis ke.."

akhirnya saya tidak mampu sembunyikan. nangis teresak-esak pulak tu. comot betol!

"linda.. awak sorang-sorang ke tu.. kenapa awak nangis...huhu" saya dapat bayangkan macam mana riak muka kak kina ketika ini. separuh cuak.

"manalah saya tahu.. sape suruh akak tepon saya. kan saya dah nangis.. huhu..", jawab saya sambil mengelap baki air mata.

Saya pun tak tahu kenapa saya menangis. mungkin menangis kegembiraan kerana kakak yang selalu berada di sisi saya ini bakal mengecapi kebahagiaan. mungkin menangis kesyahduan kerana selepas ini kakak saya ini sudah menjadi pemilik orang. mungkin..

Entah. saya pun tak pasti kenapa air mata ini keluar.

Kak Khairina atau Kak Kiena yang saya kenali, adalah mudah mesra. Tua setahun daripada saya. mula kenal semenjak saya tahun satu lagi dan mula rapat entah bila. Mungkin waktu, masa, tempat dan program yang merapatkan kami. Selalu menulis komen di blog saya. Selalu juga memberi semangat dan melayan kesengalan di waktu-waktu tertentu.Dalam banyak hal, kami sama pendapat. apabila berbincang mengenai sesuatu isu, biasanya perbincangan tidak bercambah kerana pandangan kami biasanya sama. saling menyokong. minat? kebanyakkannya juga sama. beliaulah yang kenalkan saya dengan video matluthfi. sehinggalah saya ternanti-nanti setiap keluarannya. jenis movie yang kami kongsikan, jenis buku yang kami baca, serius sama. cumanya, bahan Kak Kiena kebanyakkannya dalam Bahasa Inggeris. beliau juga seorang yang tinggi siasah. Kalau tidak, masakan dia dapat menyimpan rahsia terbesar ini sehingga sekarang. huhu. saya hanya tersenyum bila dia cuba menafikan setiap kali. antara ayat popularnya ialah " Entahla Linda.. Akak pun tak tau bila nak kawin.. siapalah akak ni.."

"eaww.. tolonglah.." huhu..

dan..

pasangannya.. saudara Hafizul Hilmi. bukan orang lain. hebat juga. dari sudut siasah dan isu semasa, siapa yang tidak kenal dengan mantan MPM evolusi ini. Pendapatnya di fb kadangkala boleh membuatkan wartawan, Yb dan Pak menteri menggaru kepala dan menahan sabar. Dan, yang paling saya kagumi ialah dari sudut penulisannya. masakan tidak, dua novel remaja sudah terbit hasil tulisannya. Si Blogger Kampung dan Budak Surau.    

Keduanya orang hebat. keduaya suka menulis. terutamanya di blog. Cuba buka sini dan sini . Alhamdulillah. semoga persamaan dan perbezaan menjadi pelengkap kebahagiaan.:)


Barakallahulakuma buat Kak Khairina 'Izzati dan pasangan Hafizul Hilmi. Semoga dikurniakan sakinah, mawaddah dan rahmah oleh Allah Ta'ala.
:)



nota:
1. Sahabat mana yang tidak gembira melihat kebahagiaan sahabatnya..
2. perempuan memang selalu menangis tanpa sebab.
3. kak kiena, jom dating! ^^,

24 December 2012

Dua alam rahsia Tuhan

Bismillah wa syukrulillah..

"wah, anak perempuan Hjh Asmah tinggal seorang. Tak lama lagi tu..."kata Cik Tipah
"ha linda. Tinggal kau sorang tak kahwin lagi. Bila lagi..."kata Pak Manap

Ini antara soalan bertubi-tubi yang ditanya kepada saya ketika majlis walimah abang saya bulan lepas. Dari pagi sampai ke petang. Dari sebelum majlis bermula hinggalah selesai. Semua duk tanya. Bila lagi, bila lagi, bila lagi. Riiiiimas!(dengan gaya matluthfi)

Akhirnya, bila orang asyik bertanya, maka jawapan ringkas ini saya jawab. " Esok! jangan tak datang pula ya!, "

Hmm.. Macam-macam.

Perkahwinan pada saya ialah ibarat memasuki satu alam. Memasuki alam perkahwinan ialah bermaksud melangkah ke alam orang-orang dewasa. Orang yang cukup matang dari sudut ilmu agama, ilmu mengurus emosi dan ilmu mengurus kehidupan diri sendiri dan orang lain.

Sebagai persediaan untuk memasuki alam ini, maka orang pun berpusu-pusu mendaftar kursus kahwin. Itu dari sudut syarat wajib di Malaysia. Persediaan yang lain pula ialah, kerja lebih masa untuk mencari wang kenduri dan hantaran, menajamkan skill memasak, belajar menjahit, membaca buku-buku berkaitan rumahtangga, dan sebagainya. Tidak kurang juga yang menghantar borang baitul muslim kepada panel bagi yang belum ada calon. Itu semua adalah persediaan yang dilakukan ramai dari kita.

Kebanyakkan orang, hangat bercerita keseronokan berkahwin. Lumrah manusia akan membayangkan yang indah-indah sahaja tentang sesuatu yang belum ditempuhi. Kerana, di alam perkahwinan lah separuh daripada yang haram di dunia ini menjadi halal di antara suami isteri.

Namun, persoalannya di sini ialah, kenapa orang masih tertanya-tanya dan sibuk mencari-cari sedangkan alam perkahwinan ini, Allah sudah tetapkan sejak dulu lagi. Bila? Dengan siapa? Di mana? ketika umur berapa? Semuanya sudah pun ditetapkan hanya menjadi misteri dan rahsia. Kerana misteri inilah, kadangkala manusia begitu asyik untuk berteka-teki dengan kehadiran cinta. Kadang-kala sehingga lagha! (nauzubillah)

Ramai juga dikalangan kita terlupa. Ada satu lagi alam rahsia Tuhan, misteri kepada kita tapi tak ramai untuk orang ingin tahu. Sedangkan, konsepnya sama seperti alam perkahwinan tadi. Di mana? bila? dengan siapa? ketika umur berapa? semuanya kita tidak tahu. Iaitulah alam barzakh. Alam perpindahan roh. Alam kematian.

Cuba kita koreksi diri dan bertanya kepada hati kita yang paling dalam. Apakah perasaan excited kita memikirkan hal-hal alam perkahwinan sama dengan perasaan ketika memikirkan alam kematian. Sejauhmanakah persediaan untuk kedua-dua alam ini seiring? Jika kita suka untuk berteka-teki dengan siapakah kita dijodohkan mengapa tidak kita juga berteka-teki untuk hal-hal kematian kita. hal-hal negeri akhirat kita. Bukanlah bermakna untuk kita meminta-minta mati tapi "bukankah orang yang paling bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan bersedia kearahnya" (Imam Ghazali)

Alam perkahwinan vs alam kematian. Ada matlamat, visi, misi tersendiri.

"Ya Allah berikan aku cinta orang yang mencintaiMu. Jauhi diriku daripada fitnah cinta yang melemahkan pemuda dari mengingatiMu."

Berkahwinlah dengan niat untuk melengkapkan agama bukan sekadar nafsu. Bentengkan hatimu dengan ingat kepada Allah Tuhan yang Maha Mengetahui segala rahsia. Nikah dan mati semuanya rahsia Tuhan!
Wallahu'alam.

04 December 2012

PERLU vs MAHU

Bismillah...

Mengimbau kembali kisah saya 3 tahun lepas..

Hasil daripada keputusan peperiksaan di matrikulasi, alhamdulillah saya terpilih untuk menghadiri temuduga di USM penang untuk ijazah sarjana muda farmasi. Pelbagai persediaan saya lakukan. Meneliti beberapa jenis ubat, berlatih bercakap di hadapan cermin dan sebagainya. Walaupun ini bukan kali pertama pengalaman saya ditemuduga, namun perasaan kali ini sangat berdebar memandangkan, menjadi seorang farmasi adalah cita-cita saya semenjak SPM. Akhirnya sampai juga hari yang ditunggu, saya bertolak ke penang seorang diri dengan menaiki bas..

Yakin dan berani. Itulah yang saya rasakan ketika ditemubual oleh tiga orang panel tadi. Dengan jawapan yang saya rasakan logik dan relevan, saya yakin untuk terpilih!

Seminggu kemudian, saya perlu bersedia pula untuk menghadiri temuduga di UTHM untuk ijazah sarjana muda pendidikan. Persediaan saya, biasa-biasa saja. Kak ngah sudah 'menyumbat' pelbagai bahan bacaan kepada saya. Namun, tidak saya endahkan.

Ketika berhadapan dengan panel penemuduga pula, saya biasa saja. Sudah lah menjawab soalan dengan jawapan yang berulang-berulang akibat hilang point, muka tak yakin, gaya cakap pun sudah nampak tak bersungguh malah, ketika diminta untuk mengajar selama 10 minit, Saya katakan kepada panel, saya rasa saya tidak mampu untuk mengajar. Dan di situ juga panel tersebut memberi motivasi, "awak boleh! Ajar ja apa-apa". Kemudian, saya pun mengajar saja. entah apa-apa. Itulah perasaan ketika itu.

Akhirnya, keputusan upu keluar. Saya gagal ke USM tetapi berjaya ke UTM. Saya menangis semahu-mahunya. Impian untuk menjadi seorang pharmaciest hancuq berkecai..

Dengan iman yang sangat tipis ketika itu, berhari-hari jugalah baru saya redha. Puas emak memujuk.. Astaghfirullah. Semoga Allah ampunkan dosa saya ini..

Itu kisah saya 3 tahun lepas. Sekarang, saya sudah pun di tahun akhir ijazah sarjana muda sains pendidikan matematik. Mustahil jika saya masih tidak ikhlas dalam bidang ini ketika ini.
Terasa diri sangat bodoh ketika itu. Mengapalah perlu mengambil masa berhari-hari baru hendak redha dengan qada' qadar Allah. Sedangkan semestinya kita tahu Allah itu akan memberikan apa yang kita PERLU berbanding apa yang kita MAHU. Dia Maha Tahu apa yang terbaik bagi hambaNya.
Saya mahukan ilmu farmasi, tapi Allah berikan ilmu menjadi seorang murobbi. Alhamdulillah. Saya berdoa untuk ilmu yang baik, tapi Allah berikan ilmu yang terbaik.

Dengan tahap tekanan kesibukan di saat ini, saya tidak pasti saya mampu atau tidak untuk menghadapinya jika saya berada dalam bidang farmasi. Dengan kesusahan subjek minor kimia yang saya ambil sekarang, saya tidak dapat bayangkan tahap kesusahan jika saya belajar kimia dalam farmasi. Fuh! Semoga Allah mempermudahkan..

Dalam sekalian hal, marilah kita berhusnu dzan kepada Allah. Dia yang Mahu Berkuasa ke atas setiap masa depan hambaNya.
Di saat kita berdoa untuk berjaya, Allah berikan kegagalan kecil agar kita terus berusaha.
Di saat kita berdoa untuk keluasan masa, Allah berikan kesempitan kecil agar kita berdisiplin menghargai masa yang ada.
Di saat kita berdoa untuk kekayaan harta, Allah berikan kesempitan wang agar kita bersyukur dan berjimat.
Dan, di saat kita berdoa untuk segera diberikan jodoh, Allah lambatkan sikit untuk memberi kita keluasan masa untuk bersedia.

Makanya, teruskanlah berusaha dan berdoa.
Dalam segenap inci kehidupan, percayalah, padanya ada hikmah!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...