• RSS

27 December 2012

Ada orang tu, nak kahwin dah..:)

Bismillah wa Syukrulillah..

Hamizah baru sahaja menghantar mesej.

"walimah k.kina pijoe 9feb"

Saya terdiam. Disahkan lagi dengan invitation oleh bakal pengantin sendiri di fb.

Sebenarnya ini bukanlah lagi kejutan bagi saya. Kerana instinct saya selama ini sudah pun kuat mengatakan.

Tidak lama setelah saya klik going pada inivitation, bakal pengantin menelefon saya.

"Assalamualaikum, Linda..."
"Waalaikumsalam akak..."
" Linda, akak tak berniat nak tipu awak tau..."

saya tidak mampu berkata apa-apa. dada mula sesak. air mata mula berlinangan.

"Linda..awak nangis ke.."

akhirnya saya tidak mampu sembunyikan. nangis teresak-esak pulak tu. comot betol!

"linda.. awak sorang-sorang ke tu.. kenapa awak nangis...huhu" saya dapat bayangkan macam mana riak muka kak kina ketika ini. separuh cuak.

"manalah saya tahu.. sape suruh akak tepon saya. kan saya dah nangis.. huhu..", jawab saya sambil mengelap baki air mata.

Saya pun tak tahu kenapa saya menangis. mungkin menangis kegembiraan kerana kakak yang selalu berada di sisi saya ini bakal mengecapi kebahagiaan. mungkin menangis kesyahduan kerana selepas ini kakak saya ini sudah menjadi pemilik orang. mungkin..

Entah. saya pun tak pasti kenapa air mata ini keluar.

Kak Khairina atau Kak Kiena yang saya kenali, adalah mudah mesra. Tua setahun daripada saya. mula kenal semenjak saya tahun satu lagi dan mula rapat entah bila. Mungkin waktu, masa, tempat dan program yang merapatkan kami. Selalu menulis komen di blog saya. Selalu juga memberi semangat dan melayan kesengalan di waktu-waktu tertentu.Dalam banyak hal, kami sama pendapat. apabila berbincang mengenai sesuatu isu, biasanya perbincangan tidak bercambah kerana pandangan kami biasanya sama. saling menyokong. minat? kebanyakkannya juga sama. beliaulah yang kenalkan saya dengan video matluthfi. sehinggalah saya ternanti-nanti setiap keluarannya. jenis movie yang kami kongsikan, jenis buku yang kami baca, serius sama. cumanya, bahan Kak Kiena kebanyakkannya dalam Bahasa Inggeris. beliau juga seorang yang tinggi siasah. Kalau tidak, masakan dia dapat menyimpan rahsia terbesar ini sehingga sekarang. huhu. saya hanya tersenyum bila dia cuba menafikan setiap kali. antara ayat popularnya ialah " Entahla Linda.. Akak pun tak tau bila nak kawin.. siapalah akak ni.."

"eaww.. tolonglah.." huhu..

dan..

pasangannya.. saudara Hafizul Hilmi. bukan orang lain. hebat juga. dari sudut siasah dan isu semasa, siapa yang tidak kenal dengan mantan MPM evolusi ini. Pendapatnya di fb kadangkala boleh membuatkan wartawan, Yb dan Pak menteri menggaru kepala dan menahan sabar. Dan, yang paling saya kagumi ialah dari sudut penulisannya. masakan tidak, dua novel remaja sudah terbit hasil tulisannya. Si Blogger Kampung dan Budak Surau.    

Keduanya orang hebat. keduaya suka menulis. terutamanya di blog. Cuba buka sini dan sini . Alhamdulillah. semoga persamaan dan perbezaan menjadi pelengkap kebahagiaan.:)


Barakallahulakuma buat Kak Khairina 'Izzati dan pasangan Hafizul Hilmi. Semoga dikurniakan sakinah, mawaddah dan rahmah oleh Allah Ta'ala.
:)



nota:
1. Sahabat mana yang tidak gembira melihat kebahagiaan sahabatnya..
2. perempuan memang selalu menangis tanpa sebab.
3. kak kiena, jom dating! ^^,

24 December 2012

Dua alam rahsia Tuhan

Bismillah wa syukrulillah..

"wah, anak perempuan Hjh Asmah tinggal seorang. Tak lama lagi tu..."kata Cik Tipah
"ha linda. Tinggal kau sorang tak kahwin lagi. Bila lagi..."kata Pak Manap

Ini antara soalan bertubi-tubi yang ditanya kepada saya ketika majlis walimah abang saya bulan lepas. Dari pagi sampai ke petang. Dari sebelum majlis bermula hinggalah selesai. Semua duk tanya. Bila lagi, bila lagi, bila lagi. Riiiiimas!(dengan gaya matluthfi)

Akhirnya, bila orang asyik bertanya, maka jawapan ringkas ini saya jawab. " Esok! jangan tak datang pula ya!, "

Hmm.. Macam-macam.

Perkahwinan pada saya ialah ibarat memasuki satu alam. Memasuki alam perkahwinan ialah bermaksud melangkah ke alam orang-orang dewasa. Orang yang cukup matang dari sudut ilmu agama, ilmu mengurus emosi dan ilmu mengurus kehidupan diri sendiri dan orang lain.

Sebagai persediaan untuk memasuki alam ini, maka orang pun berpusu-pusu mendaftar kursus kahwin. Itu dari sudut syarat wajib di Malaysia. Persediaan yang lain pula ialah, kerja lebih masa untuk mencari wang kenduri dan hantaran, menajamkan skill memasak, belajar menjahit, membaca buku-buku berkaitan rumahtangga, dan sebagainya. Tidak kurang juga yang menghantar borang baitul muslim kepada panel bagi yang belum ada calon. Itu semua adalah persediaan yang dilakukan ramai dari kita.

Kebanyakkan orang, hangat bercerita keseronokan berkahwin. Lumrah manusia akan membayangkan yang indah-indah sahaja tentang sesuatu yang belum ditempuhi. Kerana, di alam perkahwinan lah separuh daripada yang haram di dunia ini menjadi halal di antara suami isteri.

Namun, persoalannya di sini ialah, kenapa orang masih tertanya-tanya dan sibuk mencari-cari sedangkan alam perkahwinan ini, Allah sudah tetapkan sejak dulu lagi. Bila? Dengan siapa? Di mana? ketika umur berapa? Semuanya sudah pun ditetapkan hanya menjadi misteri dan rahsia. Kerana misteri inilah, kadangkala manusia begitu asyik untuk berteka-teki dengan kehadiran cinta. Kadang-kala sehingga lagha! (nauzubillah)

Ramai juga dikalangan kita terlupa. Ada satu lagi alam rahsia Tuhan, misteri kepada kita tapi tak ramai untuk orang ingin tahu. Sedangkan, konsepnya sama seperti alam perkahwinan tadi. Di mana? bila? dengan siapa? ketika umur berapa? semuanya kita tidak tahu. Iaitulah alam barzakh. Alam perpindahan roh. Alam kematian.

Cuba kita koreksi diri dan bertanya kepada hati kita yang paling dalam. Apakah perasaan excited kita memikirkan hal-hal alam perkahwinan sama dengan perasaan ketika memikirkan alam kematian. Sejauhmanakah persediaan untuk kedua-dua alam ini seiring? Jika kita suka untuk berteka-teki dengan siapakah kita dijodohkan mengapa tidak kita juga berteka-teki untuk hal-hal kematian kita. hal-hal negeri akhirat kita. Bukanlah bermakna untuk kita meminta-minta mati tapi "bukankah orang yang paling bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan bersedia kearahnya" (Imam Ghazali)

Alam perkahwinan vs alam kematian. Ada matlamat, visi, misi tersendiri.

"Ya Allah berikan aku cinta orang yang mencintaiMu. Jauhi diriku daripada fitnah cinta yang melemahkan pemuda dari mengingatiMu."

Berkahwinlah dengan niat untuk melengkapkan agama bukan sekadar nafsu. Bentengkan hatimu dengan ingat kepada Allah Tuhan yang Maha Mengetahui segala rahsia. Nikah dan mati semuanya rahsia Tuhan!
Wallahu'alam.

04 December 2012

PERLU vs MAHU

Bismillah...

Mengimbau kembali kisah saya 3 tahun lepas..

Hasil daripada keputusan peperiksaan di matrikulasi, alhamdulillah saya terpilih untuk menghadiri temuduga di USM penang untuk ijazah sarjana muda farmasi. Pelbagai persediaan saya lakukan. Meneliti beberapa jenis ubat, berlatih bercakap di hadapan cermin dan sebagainya. Walaupun ini bukan kali pertama pengalaman saya ditemuduga, namun perasaan kali ini sangat berdebar memandangkan, menjadi seorang farmasi adalah cita-cita saya semenjak SPM. Akhirnya sampai juga hari yang ditunggu, saya bertolak ke penang seorang diri dengan menaiki bas..

Yakin dan berani. Itulah yang saya rasakan ketika ditemubual oleh tiga orang panel tadi. Dengan jawapan yang saya rasakan logik dan relevan, saya yakin untuk terpilih!

Seminggu kemudian, saya perlu bersedia pula untuk menghadiri temuduga di UTHM untuk ijazah sarjana muda pendidikan. Persediaan saya, biasa-biasa saja. Kak ngah sudah 'menyumbat' pelbagai bahan bacaan kepada saya. Namun, tidak saya endahkan.

Ketika berhadapan dengan panel penemuduga pula, saya biasa saja. Sudah lah menjawab soalan dengan jawapan yang berulang-berulang akibat hilang point, muka tak yakin, gaya cakap pun sudah nampak tak bersungguh malah, ketika diminta untuk mengajar selama 10 minit, Saya katakan kepada panel, saya rasa saya tidak mampu untuk mengajar. Dan di situ juga panel tersebut memberi motivasi, "awak boleh! Ajar ja apa-apa". Kemudian, saya pun mengajar saja. entah apa-apa. Itulah perasaan ketika itu.

Akhirnya, keputusan upu keluar. Saya gagal ke USM tetapi berjaya ke UTM. Saya menangis semahu-mahunya. Impian untuk menjadi seorang pharmaciest hancuq berkecai..

Dengan iman yang sangat tipis ketika itu, berhari-hari jugalah baru saya redha. Puas emak memujuk.. Astaghfirullah. Semoga Allah ampunkan dosa saya ini..

Itu kisah saya 3 tahun lepas. Sekarang, saya sudah pun di tahun akhir ijazah sarjana muda sains pendidikan matematik. Mustahil jika saya masih tidak ikhlas dalam bidang ini ketika ini.
Terasa diri sangat bodoh ketika itu. Mengapalah perlu mengambil masa berhari-hari baru hendak redha dengan qada' qadar Allah. Sedangkan semestinya kita tahu Allah itu akan memberikan apa yang kita PERLU berbanding apa yang kita MAHU. Dia Maha Tahu apa yang terbaik bagi hambaNya.
Saya mahukan ilmu farmasi, tapi Allah berikan ilmu menjadi seorang murobbi. Alhamdulillah. Saya berdoa untuk ilmu yang baik, tapi Allah berikan ilmu yang terbaik.

Dengan tahap tekanan kesibukan di saat ini, saya tidak pasti saya mampu atau tidak untuk menghadapinya jika saya berada dalam bidang farmasi. Dengan kesusahan subjek minor kimia yang saya ambil sekarang, saya tidak dapat bayangkan tahap kesusahan jika saya belajar kimia dalam farmasi. Fuh! Semoga Allah mempermudahkan..

Dalam sekalian hal, marilah kita berhusnu dzan kepada Allah. Dia yang Mahu Berkuasa ke atas setiap masa depan hambaNya.
Di saat kita berdoa untuk berjaya, Allah berikan kegagalan kecil agar kita terus berusaha.
Di saat kita berdoa untuk keluasan masa, Allah berikan kesempitan kecil agar kita berdisiplin menghargai masa yang ada.
Di saat kita berdoa untuk kekayaan harta, Allah berikan kesempitan wang agar kita bersyukur dan berjimat.
Dan, di saat kita berdoa untuk segera diberikan jodoh, Allah lambatkan sikit untuk memberi kita keluasan masa untuk bersedia.

Makanya, teruskanlah berusaha dan berdoa.
Dalam segenap inci kehidupan, percayalah, padanya ada hikmah!

02 November 2012

A simple Short Test

"Ok. Saya bagi masa seminit dari sekarang fikirkan apa-apa topik yang anda semua rasa patut untuk anda kongsikan kepada semua orang." Dr Razali memberi arahan selepas memulakan kelas dengan membaca al-fatihah.

Semua pelajar tunduk. Ada juga yang tergaru-garu kepala. Masing-masing sibuk memikirkan apalah topik yang ingin dikongsikan. Pensyarah Kimia Analisis saya yang ini memang begitu. Setiap hari ada sahaja benda baru yang dilakukan dalam kelas. 

"Ok. Cukup. Linda, bangun dan pilih tiga nama rakan kamu. Saya nak, awak jaga masa seminit untuk setiap orang bercakap" Dr memberi arahan kepada saya.

Saya senyum dan bangun dengan semangat. Sedikit lega kerana sekurang-kurangnya saya terlepas dari memberi perkongsian. Dengan muka sedikit 'kejam', saya pun memilih tiga nama.

Pelajar pertama berkongsi mengenai enjin kapal terbang. Pelajar kedua berkongsi mengenai sifat manusia dan pelajar terakhir berkongsi mengenai tips menghilangkan stress dengan menjaga hubungan dengan Allah.

Usai mereka memberi perkongsian, Dr membuat kesimpulan daripada aktiviti tersebut.

"Apa yang saya cuba ingin sampaikan ialah, topik perbualan kita seharian adalah menggambarkan siapa kita dan kepentingan perkara tersebut pada diri kita. Contohnya awak tengok bola malam tadi maka keesokannya topik bola sahajalah yang mengisi ruang perbincangan awak dengan orang lain. Dengan itu kita sudah boleh menilai orang tersebut menganggap isu bola adalah perkara penting dalam hidupnya dan perlu untuk dia kongsikan kepada orang lain. Oleh itu, pelajar sekalian, cuba kita tanamkan kepada diri kita bercakaplah, berkongsilah perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada orang lain." satu resolusi kemas daripada Dr.

Saya menganggukkan kepala dan menyebut Insya Allah dalam hati.

Benar apa yang dikatakan Dr Razali. Cuba kita muhasabah kembali. Tanyakan pada diri apakah topik yang selalu menjadi perbincangan kita sepanjang hari ini? minggu ini? bulan ini? tahun ini? sepanjang hidup ini?
Dalam tidak sedar, topik perbincangan itulah yang menunjukkan dimana prioriti isu tersebut diletakkan dalam diri kita seterusnya menggambarkan siapa kita sebenarnya. Atau dengan cara mudahnya, cukuplah dengan sekadar melihat apa yang ditulis di status facebook dan twitter kita. Macam-macam ada. Ada yang suka menulis mengenai baitul muslim, cinta, siasah, macam mana cara nak tumbangkan kerajaan, usrah, dakwah, tarbiyah,dan tidak terkecuali PSM (aduh! terasa..). Semuanya menggambarkan dengan jelas bahawa itulah kepentingan yang kita letakkan dalam hidup sekarang.

Hmmm... sama-samalah muhasabah.

Saya ada seorang sahabat yang hidupnya dari pagi hingga petang asyik cakap pasal baitul muslim sahaja. Tidak kisahlah dengan siapa pun dia berjumpa. Status di fb jangan cakaplah. Memang penuh berbunga-bunga. Katanya, baitul muslim penting bagi memastikan kesinambungan gerak kerja jema'ah.

Ada juga sahabat saya yang pagi hingga ke malam, asyik bincang pasal usrah. Tidak kisah dengan siapa dia berjumpa, mesti dia tanya pasal usrah. Katanya, Usrah tunjang tarbiyah. Tidak boleh tinggal usrah.

Hmm...macam-macam.  

Samalah saya pun. Kadang-kadang entah apa-apa yang saya post di fb. Itu pun menggambarkan betapa 'entah apa-apalah" saya ni.

Oleh itu, marilah kita betulkan kembali prioriti dalam hidup kita. Letakkan kepentingan itu mengikut fiqh awlawiyat dan 'delete' semua yang lagha dan tidak berguna. maka, secara automatisnya tingkah laku dan segala isi percakapan kita mesti akan menjadi lebih bermanfaat.

Siiru'alabarokatillah..:)




25 October 2012

9 Zulhijjah 10 Hijrah: Khutbah Terakhir Rasulullah saw

Assalamualaikum wbt..

Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw. Bersyukurlah kerana dengan titik darah dan penat lelah bagindalah kita semua mampu menjadi seorang Islam saat ini.

9 Zulhijjah. Tarikhnya diketahui umum sebagai hari Arafah. Maka di dinding-dinding facebook dan laman sosial yang lain lahirlah jutaan pendakwah yang menyebarkan tentang hadith dan fadhilat berpuasa pada hari arafah ini. Tidak ketinggalan juga yang menulis niat berpuasa serta maksudnya sekali. Tahniah diucapkan. Namun, tidak seharusnya kita lupakan satu lagi peristiwa penting yang berlaku ketika hari arafah pada 10 tahun Hijrah dahulu. Iaitulah khutbah yang terakhir yang disampaikan oleh Kekasih Allah, Nabi kita, Muhammad saw.

Sebelum saya meneruskan penulisan, izinkan saya untuk mengajak kita semua bermuhasabah. Memandangkan banyak riwayat hadith yang menyatakan fadhilat puasa ini kebanyakkannya adalah berkenaan pengampunan dosa, maka cuba tanyakan soalan-soalan ini kepada diri sendiri. Apakah niat sebenar untuk kita berpuasa sunat? Adakah kita benar-benar mengharapkan keampunan daripada Allah? atau kita sebenarnya mengharapkan puasa sunat ini sebagai 'instant repent' untuk dosa yang kita telah atau bakal lakukan?

Maaf, saya bukan golongan anti-hadith yang menafikan fadhilat berpuasa sunat hari arafah.

Jawapan yang mungkin anda berikan ialah:

"Apa salahnya kita merebut pahala puasa sunat? Kita sebagai manusia yang selalu berbuat khilaf, mestilah selalu mencari peluang untuk menambah pahala dan cara untuk menghapus dosa kan?"

Ya. Memang betul. Tapi, sejauh mana kita berusaha untuk mengamalkan cara hidup Islam dalam diri kita? dan sejauh mana kita bermujahadah untuk menghindari diri daripada melakukan dosa? Berapa kalikah kita melafazkan kata-kata taubat kepada Allah swt?

Apa yang dimaksudkan dengan 'instant repent' ialah apabila seseorang itu sudah jelas terang dan nyata lagi bersuluh melakukan dosa seperti berzina, membuka aurat, dan sebagainya lalu dia berpuasa sunat hanya dengan melihat kepada fadhilat puasa ini mampu menghapuskan dosa-dosanya dengan segera. Mungkin juga terpengaruh dengan cara pemikiran generasi Y yang semuanya mahu disegerakan. Termasuklah dari sudut pengampunan dosa?? Astaghfirullahalazim..

sedangkan inti taubat itu haruslah penuh dengan penyesalan, tangisan, taubat menghina diri, dan keazaman untuk tidak mengulanginya lagi.

Sahabat-sahabat sekalian, marilah kita menghayati kisah menyayat hati khutbah Rasulullah saw pada 9 Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

"Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak hadir di sini pada hari ini."

Rasulullah sememangnya sudah dapat merasakan hajinya pada tahun itu adalah yang terakhir. Suasana sepi. Para sahabat sudah berasa sayu. Mereka sedar, tubuh mulia di hadapan mereka ini bakal meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Suasana suram mula menyelubungi. Semua diam untuk mendengar setiap patah mutiara yang bakal keluar dari mulut kekasih Allah ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas  segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan semi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.


Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.


Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Tawa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.


Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. itulah Al-Quran dan Sunnahku.


Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampakan pula kepada orang lain. semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan RisalahMu dan kepada Hamba-hambaMu. 


Dan sekarang, cuba tanyakan soalan ini kepada diri kita. Sudahkah kita menyempurnakan wasiat nabi yang terakhir ini dalam kehidupan kita? Adakah kita benar-benar mengamalkan apa yang sudah terpatri dalam Al-Quran dan Sunah? Ini adalah antara soalan umum sebagai muhasabah.

Dan mari kita tanyakan soalan yang lebih khusus kepada diri kita. Kita yang mengaku Umat Rasulullah yang kononnya menggelar diri sebagai pendakwah ini, sejauh manakah kita mengajak masyarakat Islam di tempat kita untuk kembali ikut perintah Allah? Kita yang mengaku nuqaba' ini, sejauh manakah kita tidak culas dalam melaksanakan usrah? Kita yang kononya menggelar diri sebagai amilin, jundullah ini sejauh manakah kita berlumba-lumba untuk menjadi AJK program jema'ah? Kita yang mengaku sebagai pemimpin ini, sejauh manakah kita melaksanakan amanah yang benar-benar ditaklifkan?

Teruskanlah hidup ini wahai sahabat-sahabat. Teruskan kehidupan ini dengan kelalaian. Teruskan sikap bermalas-malasan antum dalam jema'ah. Teruskan sikap menangguh-nangguh kerjamu wahai para amilin. Teruskan sikap antum yang culas dengan masa.Teruskan sikap antum yang sukakan hal-hal 'gosip baitul-muslim' itu berbanding gerak kerja jema'ah. Teruskanlah dengan 'tabiat-tabiat selesa membuang masa' yang antum buat sekarang. Teruskan sikap egomu wahai yang mengaku pemimpin.

Teruskanlah!

Lihatlah ke kanan dan kiri, lihatlah dalam diri kita, keluarga kita, rakan-rakan kita, masyarakat sekeliling kita, pemimpin kita, apakah keadaan mereka sekarang? Sudahkah mereka Islam dengan sepenuhnya? Jika belum, apakah yang telah kita lakukan dengan tangan dan lisan kita untuk mengamalkan amal makruf dan nahi mungkar?

Persoalkanlah dalam hati kita. Hanya kita sendiri yang mampu menjawab soalan tersebut.

Maaf salah silap. Sama-sama kita bermuhasabah. Saya penulis berdosa terpaksa menulis semua ini kerana tidak mahu antum semua turut berdosa seperti saya.

Wallahu'alam.



22 October 2012

Air

Dengan Nama Allah Yang maha Pemurah lagi maha Penyayang..

Selawat dan salam atas junjungan besar nabi Muhammad, Rasulullah saw..

Tempoh hari, saya dan rakan-rakan 4SPM yang mengambil minor kimia seramai 10 orang telah ke Pusat Rawatan Air di SAJ, Kota Tinggi bertemankan Dr Alias selaku pensyarah untuk subjek Kimia Alam Sekitar SSC2223. Sebenarnya, lawatan ini adalah idea Dr Alias untuk melihat sendiri proses rawatan air yang dilakukan seperti yang dipelajari dalam kuliah teori. Jadi, dengan kersungguhan Dr untuk memberi kefahaman kepada kami, maka lawatan ini pun berlangsung dengan jayanya.

Pusat Rawatan Air SAJ di Kota tinggi ini mampu menyalurkan 318000 meter padu ke Johor Baharu, Pontian, Bukit Jelutong dan Skudai. Air yang disalurkan ini ialah berpangkalan dari Sungai Johor yang terletak di Kota Tinggi.

Proses merawat air yang bersalur terus daripada sungai ini tidaklah mengambil masa yang lama. Kira-kira 45 minit sahaja air itu dirawat maka ia sudah pun boleh digunakan dengan selamat iaitulah yang keluar daripada paip air di rumah kita.

mudah bukan?

Ya memanglah mudah kerana kita tidak pernah tahu disebalik tabir kesusahan para pekerja di pusat rawatan air ini. Walaupun proses rawatan ini bukanlah dilakukan secara manual, namun perincian untuk memastikan 'setting machine' bersesuaian dengan tahap kekeruhan atau kekotoran air sungai bukan mudah. En Halim selaku pegawai di pusat rawatan memberitahu hanya tiga orang sahaja yang akan menjaga bilik kawalan utama untuk sekali waktu shift. Bayangkan betapa besarnya tanggungjawab mereka bagi memastikan air yang dirawat adalah benar-benar selamat untuk diminum ianya diperincikan dari sudut pH iaitu 6.5 hingga 9, tahap kekeruhan, warna, kandungan aluminium, ferum, ammonia, manganese, klorin dan florin yang mana diperlukan dalam tubuh badan kita. Ianya sudah pun ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Walaupun air dikategorikan sebagai  'non living things' dalam sains, namun ia tetap dikategorikan sebagai makhluk Allah yang tidak pernah ingkar suruhan Tuhannya.

Asy-Syu'ara:  63

"Lalu Kami wahyukan kepada Musa, "pukullah laut itu dengan tongkatmu." Maka terbelahlah lautan itu, dan setiap belahan seperti gunung yang besar."

Air patuh suruhan Allah demi menyelamatkan Nabi Allah Musa a.s.

begitu juga dalam Firman Allah yang lain dalam surah Fussilat: 39

"Dan sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran)Nya, engkau melihat bumi itu kering dan tandus, tetapi apabila Kami turunkan hujan di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya pasti dapat menghidupkan yang mati; sesungguhnya Dia MahaKuasa atas segala sesuatu"

Air itu makhluk Allah yang turun dan membasahi bumi dan menjadi sumber kepada makhluk Allah yang lain untuk terus hidup. Maka dengan itu, kita sebagai makluk Allah yang mempunyai akal fikiran yang cerdik seharusnya menggunakan air dengan sebaiknya. Jika kita pandang air sebagai makhluk Allah, maka kita akan rasa bertanggungjawab untuk menggunakannya dengan berhemah.

Bukan sekadar soal integriti, tapi Nabi sudah mengajar kita untuk berjimat ketika menggunakan air. Bukankah nabi pernah menegur seorang sahabat yang membazir ketika berwudhu' walaupun dengan menggunakan air sungai yang mengalir.

Oleh itu para pembaca sekalian, sayangilah air sebagai makhluk Allah yang amat berjasa kepada kita. Insya Allah semoga hidup kita diredhai sentiasa..:)





07 October 2012

kosong

Hampir sejam saya melihat skrin laptop. Cuba untuk menulis. Tapi hampa. Otak dan minda diperah namun, hampa. Mood cuba diseru dengan pelbagai jampi, namun juga hampa..

Saya cuba menulis ketika masa benar-benar diperuntukkan untuk menulis. Tapi jelas hampa. Saya cuba menulis ketika idea tiada, hasilnya hampa. Saya juga cuba menulis ketika mood tiada. Nyata semuanya sia-sia.

Maka matlamat untuk menulis gagal sama sekali. Hanya satu yang tercapai. Iaitulah mengibas habuk di blog ini. Sekian.

21 September 2012

Tudung; tidak cukup dengan labuhnya.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Tudung. 

Tudung tidak wajib dipakai, yang wajib ialah menutup aurat. Jika mengikut uruf dan adat, wanita islam di dunia memakai tudung bagi menutup aurat. Tidak pula menggunakan baldi dan menebuk lubang untuk mata juga bukan dengan menyarung tudung saji di atas kepala.

Tudung yang bersyariat ialah tudung yang menutup dada. Maksudnya ia labuh menutup dada dan dijamin tidak terselak ketika ditiup angin. Maka kerana itu, tudung yang terbaik ialah bidang 55 ke atas mengikut saiz individu tersebut. 

Fesyen yang begitu pesat, sememangnya menggugat iman semua wanita. Apabila datangnya musim tudung awning, pemakai tudung labuh juga tidak terkecuali. Tudung labuh yang ada dipasaran turut di'awning'kan. Kemudahan Islam yang tidak melarang umatnya berfesyen selagi tidak melanggar syarak sangat memberi kepuasan kepada muslimat. Lagi pula tudung awning ni sangat mudah untuk dipakai. Malah tidak perlu digosok lama seperti tudung biasa. 

Namun harus diingat, pemilihan jenis kain juga sepatutnya dititikberatkan. Ada jenis kain yang nipis apabila dipakai nampak bentuk telinga dan leher. 

Bagi yang berambut panjang, sila rendahkan sedikit ikatan rambut anda supaya ia tidak kelihatan seperti bonggol di belakang.

contoh sanggul

Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah boleh dicium dari jarak demikian dan demikian."(Riwayat Muslim).

Ya saya faham, sesetengah ulama' mengatakan bonggol unta yang dimaksudkan ialah sanggul yang sengaja dibuat-buat dan ditambah-tambah. Namun, apalah salahnya anda menyembunyikan sedikit bentuk sanggul itu demi menjaga rahsia kepanjangan rambut anda dari pengetahuan kaum adam khususnya. Jaga rahsia demi suami anda. Bukankah itu lebih sweet..? :)

Seterusnya ialah, solat. Antara kelemahan tudung awning ialah kebanyakkannya ia tidak praktikal untuk solat. Ada awning yang lembut ada juga yang keras. Bagi awning yang lembut, memang tiada masalah untuk digunakan ketika solat. Namun bagi awning yang keras, ia menghalang daripada dahi untuk mencecah lantai tempat sujud sedangkan dahi merupakan anggota wajib untuk menyentuh lantai ketika sujud. Solusinya ialah, salinlah dengan tudung biasa ketika anda menunaikan solat. 

contoh awning keras

ini link untuk dapatkan tudung yang berawning lembut  Ummie Tini Collection.

Entri ini bukanlah mengkritik tudung labuh awning. Ya tudung awning memang cantik, selesa, mudah dan senang dipakai. Namun, jika kita ingin solat dengannya, pastikan ia juga 'cantik' dari sudut sah solat kita. Ya. pakaian kita memang leceh sikit kerana kita begitu berharga..^^, 

Wallahualam. Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita.


 

20 September 2012

Its The Final Countdown

Assalamuaaikum wbt.. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Diam tak diam, sudah minggu kedua saya di UTM sebagai mahasiswa tahun akhir. Insya Allah, akhir. Blog yang kaku tanpa post menandakan saya benar-benar sibuk. Entri yang dikarang di dalam minda, tidak mampu dituliskan akibat kekangan masa yang sangat dahsyat. Dan akhirnya, apabila sampai masa yang sesuai untuk menulis di sini, akhirnya entri-entri itu hilang begitu sahaja. Aduh! Kerugian saya.

Sehari sebelum semester bermula, saya mengumpul segala semangat yang ada. Kata-kata nasihat emak dipaketkan rapi sebagai bekalan. Kata-kata Prof Dr Muhaya sentiasa dijadikan panduan. Saya bermuhasabah. Saya tidak mahu gagal lagi! Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Hidup perlu diteruskan. Cabaran perlu dihadapi!

Minggu pertama saya sibuk. Sibuk dengan urusan menguruskan satu subjek yang terpaksa saya repeat. Daripada urusan jadual yang clash, borang permohonan mengambil 20 jam kredit kepada Timbalan Dekan, dan pertukaran bilik kuliah. Ya memang letih. Memang cukup kesal untuk diingatkan atas kegagalan satu subjek ini, namun sampai bila ia harus dikesali. Saya bersyukur. Sungguh, memang benar-benar ada hikmah di atas setiap yang berlaku. Mana tidaknya, dalam subjek yang saya repeat ini, saya dipertemukan dengan penyarah yang sangat mantop. Kelas dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan tazkirah motivasi selama 5 minit. Cara beliau mengajar juga, subahanallah.. sangat bagus. penerangan yang sangat terperinci dan dikaitkan dengan alam sekeliling. Tidak ada niat langsung untuk saya membanding-bandingkan pensyarah yang lama dengan yang baru, namun saya hanya memuji dan tidak menyalahkan pensyarah diatas kegagalan saya.

Dan, dalam celah-celah keletihan itu, ada kegembiraan yang besar iaitu, tajuk PSM (Projek Sarjana Muda) saya telah diterima. Alhamdulillah..

Dan sekarang sudah berada di minggu kedua. Hampir tidak terasa masa yang berlalu.

Banyak sebenrnya yang ingin saya kongsikan, namun apakan daya, mungkin sudah berkarat di celahan minda dan sukar untuk dikeluarkan.

Mohon yang membaca entri ini mendoakan kejayaan saya di universiti tarbiyah ini. Berkat doa orang soleh seperti anda semua, Insya Allah makbul.. :)

05 September 2012

Aidilfitri

Assalamualaikum wbt..

Bagi saya, ilmu dan emosi memainkan peranan penting bagi penulis blog. Apabila seseorang itu mempunyai banyak ilmu maka dia akan rajin untuk menulis. Begitu juga emosi. Apabila sedang marah, gembira, sedih, kecewa maka, semangat untuk menulis membuak-buak. Kesemuanya adalah untuk perkongsian. Blog adalah tempat untuk berkongsi. Sebuah diari versi sopan. Bersifat peribadi dan umum. Rugi jika dirahsiakan tetapi baik untuk ketahuan umum. Dalam tempoh masa dari entri Ramadhan dan Aidilfitri ini, saya kekurangan  kedua-duanya. Ya. Saya membaca, menonton dan mendengar, tapi tidak terlalu berilmu. Emosi juga biasa-biasa.

Aidilfitri.
Apa yang ada dengan aidilfitri? ada orang kata aidilfitri ni untuk budak-budak sahaja. Tapi sebenarnya inilah hari kemenangan untuk kita. Kemenangan setelah sebulan kita mampu berpuasa, hanyut dengan ibadah dan membuatkan syaitan dan iblis menangis. Ramadhan melatih kita dari menurut hawa nafsu dan rajin beribadah.  Apabila Ramadhan berlalu, nilai istiqamah kita pula diuji.
Hari raya tahun ini, disambut seadanya. Saya tenggelam dengan keletihan hingga tak terasa sangat kemeriahan suasana hari raya. Hari Raya di Johor memang sangat sibuk! :)

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin buat semua.

Selamat Hari Lahir

Assalamualaikum wbt.. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Alhamdulillah.. Umur saya ketika menulis ini, 22 tahun 3 hari 11 jam 10 minit. Sudah besar panjang melangkaui usia baligh dan mumaiyiz. Sudah mampu membezakan yang haq dan batil juga terpaksa menanggung bebanan dosa dan pahala diri sendiri. Aqal mampu membezakan namun anggota badan, fizikal kadang kala tidak mampu dikawal daripada melakukan dosa. Astaghfirullah..

Kenapa kita terus berdosa? kerana Allah mahu membuktikan kita bukan manusia maksum seperti Nabi. Kerana Allah mahu kita belajar dari kesilapan. Kerana Allah mahu kita bertaubat. Kerana Allah suka mendengar rintihan dan tangisan hambaNya.

Semakin bertambah usia, semakin pendek umur kita, semakin cepat dipertemukan dengan kematian. Astaghfirullah..

Terima kasih buat sahabat-sahabat yang memberikan ucapan selamat juga yang mendoakan kesejahteraan saya.. semoga doa kalian dimakbulkan oleh Allah Ta'ala..

ini catatan hari lahir pada tahun 2011 dan 2010..


08 August 2012

Ramadhan

2007
Saya di Smap Labu. Tahun saya mengambil SPM. Ramadhan ketika itu menyaksikan kami pulun untuk study. Masing-masing struggle untuk mendapat keputusan yang terbaik. Bukan sahaja demi menaikkan ranking sekolah malah untuk diri sendiri. Demi mencapai cita-cita yang mungkin sudah jelas ketika itu. Saya juga. Seorang pelajar yang 'biasa-biasa' turut bercita-cita untuk menjadi seorang ahli farmasi ketika itu. Sangat bercita-cita. Ramadhan ketika zaman sekolah, sangat meriah. Siangnya berpuasa tetapi belajar seperti biasa. Sebelum P&P bermula, halaqah dibentuk untuk tadarus Al-Quran dalam 15 minit. Terawikh beramai-ramai di dataran perhimpunan berbumbungkan langit berlantaikan tikar. Sangat indah. 8 rakaat terasa sekejap. Kadangkala, diimamkan pula Ustaz Amirrahman Naib Johan Akademi Al-Quran Musim Pertama yang merdu bacaannya merasai zouk makna bagi menambahkan khusyuk.

2008
Saya di KMNS. Menyambung meraih ilmu. Berpeluang lagi berjumpa Ramadhan. Alhamdulillah. Di sini, saya belajar untuk berjalan jauh. Duduk di blok yang paling jauh dengan dewan kuliah. C5. Puasa di siang harinya agak mencabar. Panas, letih. Nota dan buku tutorial yang berat. Pergi pagi, balik petang. Menghabiskan masa di surau sahaja di waktu senggang. Tak sanggup pulang ke blok memanjat bukit. Malamnya, terawikh di surau kolej. Tidak besar suraunya. Tapi tidak pula pernah penuh. Khalid Ismath 'pejuang palestin KMNS' sering menjadi imam. Tapi, tidak sampai separuh Ramadhan, felo blok meminta kami mengimarahkan surau blok dan saya yang menjadi AJK Kerohanian blok ketika itu ditaklifkan untuk menjadi imamah. Allahuakbar. Alhamdulillah. Kecil suraunya, penuh safnya. Di luar mereka seksi dan free hair tapi ketika ini kami bersujud menyembah Allah yang satu. Mereka makmum saya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kerdilnya diri ini mengimamkan mereka. Satu tanggungjawab untuk menjadi asbab mereka khusyuk bukan mudah!

2009
Saya di UTM. Kembali ke Johor setelah 6 tahun merantau di negeri orang. Bertemu Ramadhan lagi. Alhamdulillah. Dengan adanya Imam yang diimport dari Kolej lain dan Pusat Islam sendiri, maka kami tidak perlu ke MSI. Cukup sekadar solat di kolej. Air-cond menambah lagi ketenangan ketika solat. Program tadarus juga berjalan lancar.

2011
Cuti Semester. Sepatutnya saya juga seperti mahasiswa lain yang sibuk bercuti. Tapi saya pula berkerja di sini. Ya, di UTM. Wang yang banyak keluar, menjadikan simpanan wang saya negatif sem sebelumnya. Maka, saya nekad untuk berkerja di UTM. Alhamdulilllah, dengan bantuan Ustaz Aminuddin Hehsan, saya berjaya mendapat kerja sebagai pembantu ICT di Fakulti Tamadun Islam. Walaupun gaji tidaklah sebanyak mana, namun cukup juga menampung perbelanjaan seharian dan menyimpan sedikit untuk semester hadapan. Apatah lagi banyak pengalaman yang saya perolehi sepanjang berkerja di sana. Ramadhan juga di sini. Sangat seronok. Berbuka puasa di MSI, sangat meriah. Juadahnya tidaklah begitu mewah tetapi kemanisan ukhuwah itu terasa ketika makan bersama-sama dengan menggunakan talam. Solat terawikh bacaan persis Syeikh Al-Misyari juga tidak meletihkan para jema'ah apatah lagi hanya 8 rakaat. Selesai terawikh, sempat lagi 'merempit' bersama Kak Syazana ke Jusco 'menabur duit' di MPH sempena promosi ramadhan, ada discount. :)

2012
Cuti Semester. Selesai LM. Alhamdulillah diberi kesempatan lagi bertemu Ramadhan. Ramadhan kali ini bersama emak. Berdua. Menabur bakti sebagai seorang anak. Menebus tanggungjwab anak yang selalu 'hilang' ketika cuti sem ini. Kali ini saya mengambil keputusan untuk tetap di sini. Siangnya berkerja di rumah Mak Cik membantu membuat kuih raya. Petangnya 'memeriahkan' dapur dengan bunyi sudip dan kuali menyiapkan juadah berbuka. Komen mak mengalahkan juri masterchef. Pedas ayatnya. Huhu. Tarbiyah emak demi memandaikan anaknya ini memasak sepertinya. Terpedas, termanis, tertawar. Maka saya memberikan alasan, Puasa mana boleh rasa. Hehe. Hujung minggu pula, saya membuka kelas tusyen di ruang tamu rumah saya. matematik tahun empat. Bayaran? seikhlas hati. Siapa nak bayar, silakan. Siapa tak nak bayar, tiada paksaan. Malamnya, terawikh di masjid. 'Merempit' dengan bertelekung. Itu perkara biasa. :). 20 Rakaat surah lazim. Terasa bersemangat setiap kali melihat kanan dan kiri makcik-makcik berumur 60 an yang sudah sakit-sakit lutut pun masih bertenaga untuk menghabiskan terawikh. 10.05 sharp selesai witir.

Tahun silih berganti, Ramadhan datang dan pergi. Entah di mana pula saya ketika Ramadhan kembali 2013 nanti. Seandainya Ramadhan ini, yang terakhir buat kita, di manakah kita di fasa maghfirah ini..    


    

27 July 2012

Lesen dunia vs lesen akhirat

Tiga minggu sebelum ramadhan, saya menemankan emak ke klinik berjumpa doktor untuk appointment ujian darah. Alhamdulillah tiada kencing manis tekanan darah tinggi juga semakin baik walaupun masih tinggi. Dalam perjalanan pulang, setibanya di satu persimpangan....

Aduhai...roadblock!!

Saya bukan pendatang asing. Bukan juga seorang penjenayah. Tapi saya sedang melakukan kesalahan. Saya tak ada lesen!

Emak di belakang sudah cemas. Nak patah balik, risiko untuk dikejar sangat tinggi memandangkan jarak sudah dekat.

"Tak apa mak, rilex2.."

"Genggaman emak pada baju saya semakin kuat." Jelas menunjukkan kerisauan.

Berbekalkan keyakinan pengalaman lalu setelah dua kali melepasi road block tanpa lesen, saya yakin kali ni pasti selamat lagi daripada disaman. Selawat dibaca di dalam hati. Saya melalui dengan bismillah. 

Tiba-tiba, polis 'melambai-lambai' tangan menyuruh saya ke tepi dan berhenti.

"Adeyh....." Saya sudah membayangkan RM300 yang bakal 'dirompak'.

"Tunjuk lesen dik." Kata Pak Cik polis berhati mulia.

Saya senyap.

"Linda!" Dia memanggil saya.

"Ha sudah. Mana dia tahu nama aku? Owh, jaket PMI..."saya terlupa yang saya pakai jaket PMI masa tu. 

"Ye saya!"

"Mana lesen awak...?"

"Err.. tak ada." Saya menjawab jujur.

"Kenapa tak ada.. awak ni... Belajar lagi ke dah kerja?" Polis kembali menyoal.

"Belajar."

"Kat mana?

adeyh.. Soalan ni termasuk dalam formaliti seorang polis trafik ke?

"UTM Skudai" dalam hati menjawab, UTM sanjungan bangsa. hehe

"Alah.. Encik.. Saya baru balik hantar mak pergi klinik ni.. Kejap je..."Saya cuba memberikan alasan. Walaupun betul, tapi hakikatnya niat tak menghalalkan cara. Nasib baik polis ni tak jawab macam tu.  

"Habis tu, ni motor siapa?"

"Motor abang."

"Hmm,,Lain kali ambil la lesen. P pun jadi la. Ok!"

"Insya Allah.. Terima kasih encik!.."

Vroomm....

Saya memulas minyak. Emak tak henti-henti mengucapkan syukur di belakang.

Alhamdulillah. RM300 masih terselamat. 

Begitulah. Hakikatnya hidup di dunia ini, semuanya memerlukan lesen. Kebenaran untuk memiliki dan menggunakan dengan bebas. Kenderaan, Senjata api, kedai, syarikat semuanya perlukan lesen. Lesen diberikan setelah kita memohon dan melepasi syarat piawaian, pengetahuan, perjanjian atau bayaran tertentu. Ini untuk mengawal tindak tanduk manusia supaya tidak menyalahgunakan antara perkara yang saya sebutkan tadi.

Lesen dunia. Hubungan kita manusia dengan manusia. Hablu min an-naas.

lahir ke dunia sahaja, jika ibu bapanya Islam, maka kita sudah Islam. Membesar dan menbesar, sehinggalah boleh berjalan, berlari, makan dan minum sesuka hati. Apabila sudah baligh dan mukalaf kita diwajibkan untuk menyempurnakan rukun Islam yang lima. Terutamanya solat dan puasa. Juga pelbagai kewajipan yang lain iaitu menuntut ilmu, menutup aurat, dan sebagainya. Ramai yang sedar inilah kewajipan sebagai seorang muslim. Tapi, ramai juga yang tidak sedar ini adalah sebuah kewajipan. Masih ramai masyarakat di luar sana yang masih lalai tidak solat, puasa dan juga mendedahkan aurat. Hidup dengan gembira tanpa ada rasa takut kepada Allah walaupun hakikatnya kewajipan itu sudah lama diketahui. 

Mengapa manusia hanyut dalam maksiat?
Kerana kita hidup di dunia secara PERCUMA. Oksigen memasuki paru-paru dengan sendirinya tanpa dibayar, mata yang mampu memandang tanpa bayaran jarak pandangan, jantung yang tidak perlu diupah untuk mengepam darah, akal yang mampu berfikir dan seluruh nikmat nyawa ini diberi percuma. Hidup tanpa sekatan. Dengan nikmat nyawa, kesihatan dan kesenangan inilah yang membuatkan manusia itu semakin lalai.  Terlupa dengan pemberi nikmat lalu menggunakan barang pinjaman ke jalan maksiat.

Tatkala malaikat maut ingin menjemput, barulah tersedar mahu bertaubat. Namun semuanya sudah terlambat.   Jika masih mampu menyebut nama Allah, itu pun sudah sangat bersyukur. Lalu, diazablah si mati tadi di dalam kubur hingga kiamat dek kerana tiada amalan yang dibawa bersama.

Astaghfirullah. Nauzubillah..

Para pembaca sekalian, segala kewajipan dan amalan yang Islam syariatkan itulah lesen kita untuk ke akhirat. Amalan berdasarkan piawaian yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunah. Manakala para nabi dan ulama' adalah polis di dunia yang sentiasa mengajarkan. Di samping polis ghaib yang mencatat segala amalan untuk dihisab. Dengan izin Allah mereka berkerja mencatat kebaikan dan keburukan. Jika hamba itu bertaubat, maka akan dipadam keburukan tersebut dengan perintah Allah. Itulah malaikat rokib dan atid. Hanya mereka yang ingat akan negeri akhirat sahaja yang sedar akan lesen-lesen yang mesti kita miliki untuk melepasi kebenaran Allah untuk mendapat kesenangan di negeri abadi kelak. Taman syurga di kubur juga mahligai mewah di syurga.

Lesen akhirat. Hubungan kita dengan Allah, hablu min Allah.

Semoga bermanfaat buat saya dan kita semua.




20 July 2012

Cakar Ayam

Sedari tadi Hakim mencangkung di situ. Di tepi sungai tempat dia dan anak kampong selalu bermain menghabiskan masa. Matanya memerhatikan air sungai yang tenang dengan harapan ketenangan itu dapat merawat hatinya yang sedang remuk, namun setelah sejam berlalu, usahanya hanya sia-sia. Hakim mendongak pula. Dia mencari kelibat burung yang dapat dilihat bayangnya di air tadi. Ceria sekali burung itu terbang bebas. Mungkin ia baru sahaja pandai terbang memandangkan saiznya yang masih kecil. Hakim merenung tajam burung itu.

 “Arghhhh!, kau menambahkan lagi sakit hati aku, burung!” Hakim menjerit memarahi burung yang tidak berdosa itu sambil tangannya membaling batu ke arah burung tersebut. Mujur burung kecil itu pantas mengelak.

 “Huh!”, Hakim mendengus setelah sedar sasarannya tidak mengena.

 Dia kembali menunduk. Dia sudah penat. Lututnya yang tadi rapat ke dada kini dilonggarkan. Dia duduk bersila pula. Kedua tapak tangannya dikembangkan. Dia merenung kedua belah tapak tangannya dengan hati yang benar-benar kecewa. Kecewa dengan dirinya sendiri.

 Dia teringat kejadian di sekolah tadi. Guru Bahasa Melayunya, En Sarpan mengajar mereka murid darjah tiga simpulan bahasa baru. Sememangnya Cikgu Sarpan akan memulakan pengajarannya setiap hari dengan menulis satu simpulan bahasa baru di papan hitam. Semua murid akan menyalinnya di dalam buku tulis khas untuk simpulan bahasa sahaja. Usaha ini bukanlah idea Cikgu Sarpan sebaliknya, inilah cadangan daripada Guru Besar untuk memastikan semua murid di sekolah itu mengekalkan kecemerlangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ketika UPSR di darjah enam nanti.

 “Murid-murid, simpulan bahasa yang kita akan belajar pada hari ini ialah cakar ayam. Maksud cakar ayam ialah tulisan yang buruk.” Cikgu Sarpan menerangkan maksud simpulan bahasa itu setelah menulisnya di papan hitam.


 “Contoh ayatnya ialah, tulisan Hakim yang macam cakar ayam itu, amat sukar dibaca oleh sesiapa pun.” Cikgu Sarpan memberikan contoh sambil memandang Hakim.


 Satu kelas kemudiannya riuh dengan ketawa terbahak-bahak. Semua memandang Hakim dengan pandangan hina. Rakannya, Lukman yang duduk di sebelahnya menolak-nolak kepala Hakim. Cikgu Sarpan terpinga-pinga. Dia tidak sedar yang dia sudah tersalah ketika menggunakan contoh nama bagi ayat tadi. Dia terlupa yang Hakim sememangnya mempunyai tulisan yang buruk.


 Hakim berlagak selamba. Dia hanya menyalin apa yang cikgunya tulis di hadapan papan hitam ke dalam buku. Kelas kembali senyap setelah ditenangkan oleh Cikgu Sarpan. Sesekali dia memandang Hakim ingin tahu reaksinya. Bimbang juga dia jika kata-katanya sebentar tadi melukai muridnya itu. Namun, Hakim tetap seperti biasa. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Cikgu Sarpan berasa lega.


 Hati Hakim bagai dicincang-cincang. Amat pedih sekali. Dia menekup mukanya dengan kedua tapak tangannya sambil menangis tersedu-sedu. Dia mengutuk dan memaki dirinya.


 “kenapa tulisan aku buruk? Kenapa tulisan aku tak cantik? Kenapa? Aku cacat ke?”, berdengung bunyinya. 
Hakim menangis sambil mengherdik dirinya. Tangannya masih menutup mukanya. 


 Hakim sedar, tulisan tangannya memang tak cantik. Saiz satu huruf dengan huruf yang lain tidak sama. Kejap kecil, kejap besar. Susunannya juga terabur. Kadang kala senget. Kadang kala tegak. Bentuk dan susunan yang tidak sama itulah yang membuatkan tulisan Hakim benar-benar buruk. Puas dia berlatih untuk mencantikkan tulisannya. Ibunya siap menyediakan buku khas untuk anaknya itu berlatih menulis supaya tulisannya berubah menjadi cantik dan kemas sejak dia darjah satu tapi, itu semua tidak menunjukkan perubahan positif kepada Hakim. 


 Hakim benar-benar tertekan. Dengan apa yang telah terjadi di dalam kelas tadi, menambahkan lagi bengangnya. Dia nekad untuk berbuat sesuatu yang tidak pernah disangka oleh sesiapa pun. Hakim menoleh ke kanan dan kiri bagi memastikan dia hanya seorang diri di tepi sungai itu. Dengan pantas, Hakim mengeluarkan sebilah pisau lipat.


"Zapppp!!!"


Hakim mengaduh kesakitan. Dia menggosok-gosok tangannya yang pijar. Mujur, Cikgu Sarpan sempat menepis. Pisau yang dipegang Hakim tercampak ke dalam sungai.


Rumah Cikgu Sarpan memang dekat dengan sekolah. Hanya memakan masa lebih kurang 10 minit berjalan kaki. Dia memang selesa berjalan walaupun dia mempunyai sebuah kereta. Sedang dia berjalan tadi, tiba-tiba dia terdengar suara kanak-kanak menangis itu yang membuatkannya sempat menyelamatkan Hakim daripada mengelar tangannya.


"Astaghfirullahalazim, Hakim!! apa yang awak cuba buat ni?" Cikgu Sarpan bertanya dengan suara yang kuat. 

"Ss.. saya..saya..." Hakim tergagap mahu menjawab. Gerun benar dia melihat guru bahasa melayunya itu. Pertama kali melihat wajahnya marah begitu.

"Saya..saya kecewa dengan diri saya, cikgu! tulisan saya tak cantik...." Hakim memberi jawapan sambil mengelap hingusnya yang mula meleleh.

"Jadi, dengan mengelar tangan, dapat mencantikkan tulisan awak?" suara Cikgu Sarpan rendah sedikit tetapi masih tegas.

Hakim hanya menggeleng. Dia sendiri tidak percaya dengan keputusan berani yang dia lakukan itu. Lumrah kanak-kanak di peringkat umur mumaiyiz yang tidak berfikir panjang ketika membuat keputusan.

"Hakim, saya ke yang menyebabkan awak berkelakuan begini.." Cikgu Sarpan rasa bersalah. Egonya direndahkan demi menebus kesalahannya kepada anak muridnya itu.

"Cikgu tak salah.. Saya yang.... Argh!!tulisan saya memang buruk! hodoh!" Hakim kembali menjerit.

"Hakim, Hakim..Mari sini, dengar cikgu nak cakap." Cikgu Sarpan memaut bahu Hakim yang kecil itu. Lalu memimpinnya untuk duduk. Hakim hanya menurut.

"Hakim, dalam peperiksaan pertengahan tahun hari tu, berapa markah awak dalam matematik?" Cikgu Sarpan menyoal lembut.


"90", Jawab Hakim perlahan.


"Sains?"


"84"


"Agama Islam?"


"100"


"Bahasa Melayu?"


"80"


"Hampir semua mata pelajaran awak dapat gred A, betul?" Cikgu Sarpan meneruskan soalan. 


Hakim hanya membalas dengan anggukan.


"Pernah tak awak ucapkan alhamdulillah dengan setiap A yang awak dapat tu?"


Tanpa menunggu jawapan Hakim, Cikgu Sarpan meneruskan lagi.

"Ucapan Alhamdulillah adalah sekecil-kecil tanda kita bersyukur kepada Allah. Allah dah kurniakan pelbagai jenis nikmat kepada kita sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Allah dah kurniakan Hakim nikmat kehidupan, kepandaian, dan ke'handsome'an malah banyak lagi nikmat yang Allah dah beri.." kata Cikgu Sarpan sambil mencuit hidung Hakim.

Hakim tersenyum mendengar perkataan 'kehandsomean' itu.


Cikgu Sarpan terus menyambung " tapi kenapa Hakim masih mengeluh dan tak berpuas hati dengan satu sahaja ujian yang Allah berikan iaitu tulisan yang tak cantik? Hakim nak salahkan Allah sebab beri kekurangan ni kepada Hakim?


Hakim hanya diam membisu.


"Ingatlah Hakim. Barangsiapa yang bersyukur kepada Allah, Allah akan tambah lagi nikmat. tapi jika kita kufur akan nikmat Allah, hati-hatilah dengan azab yang Allah akan berikan." Tambah Cikgu Sarpan. Dia teringat akan kata-kata Naqib usrahnya di kampus. Sering kali mengingatkan firman Allah ini setiap kali memulakan usrah.


"Dengan melukakan tangan awak, tak dapat mengubah sikit pun tulisan awak nanti. Malah, awak dah dikira berdosa sebab menzalimi diri awak sendiri!"


Hakim mulai insaf. Dia sedar, dia hampir melakukan perkara yang paling bodoh sekali dalam hidupnya.  Dia memeluk Cikgu Sarpan sekuat hati.


"maafkan saya, cikgu! saya tak nak diazab oleh Allah..." Hakim teresak-esak kembali menangis.


Cikgu Sarpan mengusap-usap kepala Hakim."sudahlah tu, Hakim. Insya Allah, semua yang baik dan buruk datang daripada Allah. Kita sebagai hambaNya, mesti bersyukur dan bersabar. Hakim anak soleh kan!," 




  


13 July 2012

Konvensyen Fiqh Ummah Zon Selatan 2012: Bukan sekadar ilmu

Assalamualaikum wbt..

Mari kita bersyukur di atas nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita. Dengan nikmat itulah saya masih mampu menulis dan anda masih boleh membaca di sini. Alhamdulillah, itulah sebaik ucapan.

Terpilih menjadi salah seorang volunteer K-Fiqh cukup untuk menjadikan saya gembira. Malam sebelum di'observe' pensyarah, saya menerima panggilan telefon daripada En.Farouk wakil K-Fiqh. Katanya, saya terpilih. Alhamdulillah.. Terus saya hubungi Hamizah untuk meraikannya bersama.

Sangat terkilan juga kerana tidak banyak yang saya mampu bantu sebagai seorang sukarelawan. Kerana kekangan, 3 Julai baru saya memunculkan diri di UTM, tempat konvensyen diadakan.

Alhamdulillah, masih ada rupanya kerja yang masih boleh dibantu menjelang hari konvensyen ini iaitu menjual tiket di Persada, Jb.

Hj Aki
Di sinilah saya bertemu dengan Hj Aki. Atau nama sebenarnya Hj Akhiruddin Abd Wahab. Usianya 50 tahun berkerja di sebuah syarikat Proton. Beliau yang membawa saya dan Hamizah untuk bersama-sama menjual tiket di Persada.

"Hamizah, ini novel remaja pertama yang saya tulis. Bacalah!", Hj Aki menunjukkan bukunya kepada Hamizah yang duduk di hadapan. Saya segera menjengah kepala ingin melihat juga buku yang dimaksudkan. Pantang mendengar tentang buku. Apatah lagi penulisnya di hadapan mata. Saya meneliti di kulit sisi. Tertulis senarai buku yang pernah beliau tulis dan syarikat penerbitan, Karnadya

"Jom Hidupkan Roh Haji", saya membacanya di dalam hati. Rasanya seperti familiar..

Sah! Rupa-rupanya buku beliau "Jom Hidupkan Roh Haji" itu telah diselia oleh abang saya ketika beliau berkerja sebagai editor buku di Karnadya beberapa tahun dahulu! Subhanallah.. Kecilnya dunia..

Dengan itu, bermulalah sesi perkongsian tips menulis oleh insan hebat ini. Hj Aki seorang yang cergas dan sangat aktif dalam dakwah di masjid juga majlis ilmu di sekitar Johor selain daripada seorang penulis yang telah menulis  beberapa buah buku motivasi, Islamik dan karya yang masih dalam penulisannya, novel islamik. Katanya, "Susah juga saya nak menjiwai watak remaja, dan cinta ni.."

7 dan 8 Julai
Saya ditugaskan dalam unit dewan. Menjaga pintu masuk untuk memastikan semua peserta memakai 'badge'
yang menandakan mereka sudah menunjukkan tiket di kaunter pendaftaran, mengiring peserta ke tempat duduk dan memastikan kelancaran konvensyen dengan baik. Alhamdulillah, mudah sahaja. Semuanya berjalan dengan baik. Walaupun saya tidak mampu mencerap setiap patah ilmu yang dicurahkan, namun dapat berada di dalam majlis konvensyen ini sudah cukup membina kepuasan bagi saya. Walaupun hakikatnya tenaga saya dalam k-fiqh ini hanyalah ibarat sebatang lidi dalam sebatang penyapu. Bertemu muka dengan para asatizah, bergerak kerja dengan Pengarah, Brother Syarief yang hebat dengan ilmu hadithnya, Pn Zuraidah yang bijak menyusun protokol, Hj Aki yang penuh sifat kebapaan, dan seluruh ajk dan sukarelawan. Kami berkerja dengan penuh kegembiraan dan tiada stress yang mengiringi sedangkan lumrah sesuatu program tidak pernah lari daripada masalah.

Alhamdulillah.. Ilmu dapat, ukhuwah pun dapat!



Nota:
1.Saya tak tahu kenapa abang saya jealous sebab dia tidak terpilih menjadi volunteer kali ni. Sedangkan dia dah jadi volunteer masa K-Fiqh di PWTC..huhu
2. Kelembapan internet di kampung. Maka, tiada gambar untuk dimasukkan di sini.

06 July 2012

Diari Cikgu 11: Akhir

Assalamualaikum wbt..

Latihan Mengajar sudah berakhir 5 hari yang lalu. Maknanya, sudah 4 hari saya tidak bertugas di sekolah. Saya teragak-agak sebenarnya untuk menulis entri terakhir Diari Cikgu ini kerana saya kira, entri sebelumnya seperti sudah berbau penutup. Tapi tidak puas pula melihat Diari Cikgu tidak diakhiri dengan baik.

"Hah, enti LM sem ni, nanti tarik mad'u ramai-ramai", kata seorang sahabat.
Tidak pasti kata-katanya itu arahan atau gurauan. Saya hanya membalasnya dengan gurauan juga. Sukar untuk merancang apa-apa ke arah itu kerana medannya sendiri belum jelas.

Seminggu pertama LM, saya masih belum dibenarkan untuk mengajar. Itu peraturan yang fakulti tetapkan bagi kami menyiapkan ROS (Rancangan Orientasi Sekolah). Maka, kesempatan ini saya luangkan untuk membiasakan diri dengan persekitaran, tempat-tempat penting, guru dan PELAJAR. Ya,pelajar!

Solat
Sedang duduk-duduk di perpustakaan, datang beberapa pelajar masuk ke dalam. Kelihatannya sedang bergurau-gurau. Sangat hampir dengan meja saya. Saya menegur seorang pelajar dengan berntanya soalan biasa sebagai tanda perkenalan.

"subuh pagi tadi awak solat tak?", saya meneruskan bertanya.
"Tak.", jawabnya selamba.
"Kenapa tak solat?", saya tak suka untuk bertanya kenapa dan mengapa tapi, hanya itu yang terkeluar ketika itu.
"Bangun lambat." jawabnya lagi dengan ketawa. Seolah-olah saya sedang meraikan dirinya yang tidak solat itu.
"Lima waktu sehari, waktu apa je yang awak solat?", saya meneruskan perbualan.
"Maghrib je kot." kali ni, ketawanya sudah hilang mungkin sudah menjangka akan 'diceramah' sebentar lagi. 


Saya mencapai pen dan kertas. Saya menulis namanya di atasnya. 
"Ok, sekarang jom kita selesaikan masalah awak!" dengan serius saya berkata.
matanya sudah lari ke jari saya yang bersedia untuk menulis.
"Sekarang kita ada satu masalah. Masalahnya ialah, awak tak solat." saya menulis perkataan tidak solat dengan besar di bawah namanya diikuti dengan garisan seperti peta minda.
"Kita senaraikan sebab awak tak solat. Kita pergi setiap waktu....."

Perbualan berterusan dengan soalan-soalan yang saya ajukan dan dia menjawab sambil tangan saya melakarkannya di kertas tadi. Kami bincangkan bersama sebab dia tidak solat, jalan penyelesaian, kepentingan solat, dan lain-lain hinggalah kertas tadi penuh. Akhirnya, saya serahkan kertas tersebut kepadanya.

"nah, ambil kertas ni, tampal di dinding."
"Terima kasih cikgu!"

Entah uslub dakwah apalah yang saya gunakan. Ianya berlaku spontan. Tidak pernah merancang sememangnya itu ilham yang Allah kurniakan ketika itu. Sememangnya saya tidak meletakkan pengharapan besar untuk pelajar itu berubah dan kesannya, setiap kali dia terserempak saya di sekitar sekolah dia akan membuat laporan "Cikgu, hari ni saya solat subuh!"

Hanya itu dakwah yang saya mampu di waqi' ini. Jumpa lagi beberapa orang, tanya pasal solat. Tidak terkecuali pelajar yang saya ajar kelasnya. Bukan mudah untuk mencabut jahiliyah dalam diri seseorang sekaligus. Ia bukan sekadar usaha. Mengubah seorang remaja bukan hanya kisah SEORANG. Tapi, ramai orang di sekitarnya. Siapa ibunya, siapa bapanya, siapa adik-beradiknya, siapa kawan-kawannya, di mana dia tinggal dan banyak lagi pihak yang bertanggungjawab 'merosakkan' remaja tersebut. Berani untuk saya katakan ini kerana antara sebab yang saya jumpa mengapa mereka tidak solat ialah kerana ibu bapanya juga tidak solat apatah lagi menyuruhnya solat!

Guru qudwah
Sebelum LM, risau sungguh saya. Mengenangkan diri yang serba kekurangan bukan mudah sebenarnya untuk membina sebuah keyakinan. Ia perlukan kekuatan dan keazaman yang tinggi buat insan lemah seperti saya. Saya post di fb status berbau LM demi mencari nasihat dan motivasi daripada sahabat-sahabat. Mengajar apa yang ada dalam silibus itu mungkin mudah, tapi menjadi role model itu mungkin payah. Sangat bimbang jika tidak mampu membawa imej Islam yang sebenar kepada mereka. Bimbang jika ada perangai yang tidak baik, maka itu yang akan dicontohi oleh pelajar.

Seharusnya kerisauan ini yang lebih utama sebagai seorang guru. Guru ialah qudwah. Baik atau buruk semuanya bakal diserap oleh pelajar makanya, lengkapkanlah diri dengan kebaikan semoga ilmu yang bakal diajar itu sempurna. Kerana ilmu yang baik hanya sesuai untuk diajar oleh orang-orang baik. Siapa? gurulah! Mulakan dengan hipokrit semoga ia akan sebati menjadi cara hidup.

Kelas terakhir
Jamuan dan hadiah. Semuanya diuruskan oleh anak murid kelas yang saya mengajar dan 'kelas angkat' sepenuhnya. Macam-macam kad ucapan malah ada juga yang sempat membuat vlog sempena perpisahan ini.




"Terima kasih ye semua, belanja makan.. Saya minta maaf kalau ada terkasar bahasa, tergarang, termarah, terpukul (ada ke?) dan lain-lain yang mengguris perasaan, saya minta maaf sangat-sangat. Jumpa lagi, Insya Allah di facebook! " ucapan ringkas saya.

Saya lihat muka seorang demi seorang anak murid saya. Cina, melayu, lelaki, perempuan, yang suka bercakap, yang pendiam, yang main-main, yang baik, yang pandai, yang biasa-biasa, yang ingin dapatkan perhatian (baca:kurang kasih sayang).Siapa pun mereka, merekalah anak murid saya. Anak didik saya. Dan sudah menjadi bekas anak murid kini. Aduhai.. 3 bulan 10 hari, hati mana yang tak sedih, hati mana yang tak sayu. Air mata saya tidak mampu dibekukan.

Itulah 11 kisah yang sempat saya catatkan. Menunjukkan betapa lemahnya istiqamah saya dalam menulis. 3 bulan 10 hari hanya 11 sahaja entri. Banyak lagi pengalaman yang tidak ditulis di sini. Latihan Mengajar bukan sekadar gred dan skill. Ia lebih dari itu. Inilah ruang untuk kelikhlasan itu diuji. Ikhlas yang bakal memandu corak sikap seorang guru kepada muridnya. Jika pendakwah perlu berminat kepada manusia, maka guru juga perlu minat kepada anak murid. Guru adalah pendakwah, dan pendakwah adalah guru.

Maaf seandainya Diari Cikgu ini terlalu mengisahkan hal peribadi saya dan tidak boleh dijadikan iktibar. Inilah hasil tulisan insan kerdil seperti saya.

Buat semua guru dan bakal guru, bersyukur dan beringatlah. Inilah tugas mulia mengajar umat dan berat sekali taklifannya.

Buat yang bukan guru, semua orang hakikatnya adalah guru. Jika mereka pernah menyampaikan sesuatu ilmu walau sebaris ayat.

Semoga Allah redha! Insya Allah..

Wassalam :)

25 June 2012

Diari Cikgu 10: Love them!

Usai membaca artikel Ustaz Hasrizal yang bertajuk Antara Kanak-kanak dan anak-anak. Maka, terpanggil untuk menulis lagi mengenai anak-anak murid. Harap masih sudi untuk membacanya..:)

"Walau macam mana pun perangai mereka, kita perlu untuk sentiasa ikhlas mengajar mereka." nasihat guru pembimbing saya.

"Insya Allah kak..."jawab saya sambil mengangguk-angguk kepala.

Setiap kali habis mengajar kelas 'tersebut', saya mengadu kepada beliau. Mengadu akan keresahan saya terhadap perangai anak-anak murid saya.

"Pelajar cina nya bercakap dari awal kelas sampai habis. Ada yang tidur. Yang melayu pula tak mahu menyalin nota. Berjalan dan bergurau tak sudah-sudah. Macam mana nak buat kak?"

Ini adalah keluhan saya hampir sepanjang LM. Guru pembimbing saya hanya tersenyum. Dengan sabar, beliau memberikan nasihat dan kata semangat agar saya terus kuat dan tabah. Sabar sungguh beliau melayan kerenah guru hingusan seperti saya. Sabar itulah yang perlu saya warisi.

Saya bersyukur kerana diberi taklifan untuk merasai pengalaman mengajar dua kelas yang ibarat langit dan bumi. Keduanya sama mencabar, sama risiko, sama bebannya. Yang membezakannya ialah, cara pengajaran dan psychology. Apa perlu dibuat jika ditanya soalan yang susah oleh pelajar pintar? Apa perasaan guru apabila pelajar bercakap di belakang? Apa perlu dibuat jika diloyar burukkan dan diketawakan beramai-ramai? Semuanya memerlukan kemahiran tertentu yang mungkin ia tidak diajar secara praktikal ketika microteaching. Setelah terjun ke realiti sebenar barulah, kreativiti untuk mengendali anak-anak murid begini akan terbentuk.

Ustaz Hasrizal mengatakan "Sukakan kanak-kanak, kita suka bahagian yang menyukakan sahaja. Bahagian comelnya, bahagian suka bermainnya, bahagian suka diagah, bahagian pandai bergaya di hadapan kamera. Semuanya indah dan menjadi kenangan."


"Anak-anak itu, sukanya tidak bersyarat. Suka semasa mereka comel, suka semasa mereka buat perangai. Suka semasa mereka tidak banyak meragam, suka semasa mereka tidak habis-habis membuat ragam. Semasa menjadi kebanggaan, semasa mencetus keaiban. Semasa menghiburkan, semasa memeningkan."


Maka saya juga ingin mengatakan sukakan anak-anak murid bukan suka apabila yang datang itu pelajar pandai, baik, kacak, cantik, patuh, senyap, kaya dan yang suka memberi hadiah." 

Anak-anak murid itu suka dan sayangnya tidak bersyarat. Suka ketika mereka patuh dan suka ketika mereka ingkar. Suka ketika mereka rajin dan suka ketika mereka malas.Bukan suka dengan membiarkan mereka ketika membuat 'perangai' tetapi suka diikuti dengan strategi untuk mendidik mereka menjadi insan berguna. Marah bukan diiringi dendam tetapi marah untuk mendidik. Hilangkan kebencian, tambahkan kasih-sayang.

Bukankah guru itu tugas mulia?

"Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya". (Riwayat Muslim)
"Bahawasaya Allah SWT, malaikat-malaikat, isi langit dan bumiNya sehinggalah semut di dalam lubang dan ikan di dalam laut, semuanya berdoa untuk orang yang mengajarkan manusia " (Riwayat Tarmidzi, Katanya Hadis Gharib)

Maka dengan itu, usahalah semampumu untuk menjadi guru yang terbaik buat anak-anak murid kita. Doakan sentiasa agar mereka berjaya. Insya Allah. :)


23 June 2012

Diari Cikgu 9

Assalamualaikum wbt..

Lama benar tidak menyambung Diari Cikgu. Pejam celik, usia saya berLM sudah hampir ke penghujungnya. Ketika saya menulis ini, hanya tinggal lagi seminggu sahaja untuk saya menamatkan perkhidmatan sebagai seorang guru praktikal. Sekejap sahaja masa berlalu. Rasanya baru semalam melapor diri..

Cuti sekolah yang lepas, saya mengambil peluang memanjangkan kaki ke UTM. Selain daripada urusan PSM(Projek Sarjana Muda), sempat juga saya bertemu dengan sahabat-sahabat, adik-adik yang rata-ratanya sedang 'demam' exam. Sudah pastilah pucuk cerita yang ingin di kongsi daripada saya, pengalaman jadi cikgu! Apabila ditanya, "best tak jadi cikgu?" Saya senyum. "Biasalah.. Penat tapi best!" ayat ringkas ini tidak mungkin mampu menghuraikan pengalaman saya yang selama 3 bulan lebih di sekolah ini. Takkan saya nak kata "sila lawat di blog." Nanti dikata promote blog pula..

Sebelum LM, pelbagai perkara yang saya risau dan fikirkan. Saya tidaklah mengharapkan di akhir LM nanti saya sudah mampu menjadi guru yang cemerlang yang berjiwa besar dan dedikasi ikhlas rela dihantar posting ke Sabah Sarawak, bla..bla..bla. Bukan! Menyedari, tempoh 3 bulan bukanlah lama sangat untuk saya benar-benar adapt menjadikan profession perguruan sebagai darah daging. Saya cuma mengharap,dengan LM ini saya dapat terjun ke masyarakat untuk mengenali lebih dekat siapakah anak murid kita kini dan siapakah yang berada di sekeliling mereka.

Mari kita ketepikan soal Teori Konstruktivis, Multiple Inteligent, positive and negative reinforcement, reverse psychology, hands-on and heads-on, psychomotor dan pelbagai lagi teori yang dianggap wajib tahu sebagai seorang guru. Saya lebih suka untuk menyoroti by person. Bukan by theory. Lebih praktikal dan realistik.


Anak murid
Daripada 8 buah kelas tingkatan 4, saya mengajar kelas pertama dan ketiga. Kelas pertama pelajarnya pandai. Aliran sains tulen sefikrah dengan saya. Kelas ketiga, pelajarnya biasa-biasa. markah setakat lulus atau C. Paling tinggi, A- itupun pelajar Cina yang pergi tusyen. Gagal? ada juga dalam belasan..Ketepikan soal akademik, fokuskan soal akhlak.Perbezaan sangat ketara jika kita nilai dari sudut akhlak. Pelajar kelas pertama sangat baik di dalam kelas. Patuh arahan guru dan jarang-jarang tidak buat homework. Kelas ketiga, sukar untuk dikawal. Bising, bercakap, bergurau-gurau, buku tak pernah dihantar dan pelbagai lagi ragam yang kurang enak untuk ditulis. Kelas pertama mudah dikawal, kelas ketiga sebaliknya. Saya sering kali dibunuh dengan rasa kecewa kerana gagal untuk mengawal mereka. Namun, saya positifkan diri. Ada sesuatu yang saya boleh belajar dari mereka. Ya. Sabar. Belajar untuk sabar dengan lebih lagi. Bukan saya tidak pernah marah. Bukan juga tidak pernah berlembut. Menjadi pertengahan juga sudah. Namun, setiap satunya memberi kesan yang pelbagai.Mereka tidaklah 'teruk' seperti mana yang anda fikirkan, tapi..biasalah nakal budak-budak. Nakal seorang anak murid yang malas belajar, selalu ponteng, dan mungkin inginkan perhatian seorang guru muda. Saya bersyukur, mulut saya masih tidak mengeluarkan apa-apa kata-kata kesat kepada mereka. Bimbang juga jika saya tiba-tiba tidak dapat mengawal emosi, melakukan perkara yang saya sendiri tidak redha. Alhamdulillah, pengalaman menjadi fasilitator di kampus sedikit sebanyak membantu juga teknik komunikasi saya dengan pelajar. Bezanya, apabila menjadi guru, tegas dan serius itu sangat perlu. Sudah bermuka serius begini pun, mereka tidak pernah takut apatah lagi jika bermuka manja. Hakikatnya, akhlak mereka dibentuk oleh siapa di sekeliling mereka. Kebanyakkan mereka berkerja selepas sekolah hingga larut malam. Ada yang memang betul-betul miskin tapi ramai juga hanya untuk seronok-seronok berlagak berkerjaya boleh beli apa saja. Senakal-nakal mereka, banyak juga baiknya. Mudah diminta tolong dan dengar juga bila dinasihati. Cuma, apabila masuk bab belajar, semua terus panas hati. Gelisah tak tentu pasal. Jadi, pointnya ialah mereka kurang minat belajar. 


Ibu Bapa
Inilah yang saya maksudkan siapa di sekeliling anak murid saya. Ibu bapa daripada pelbagai golongan. Perkerjaannya juga pelbagai dan menentukan taraf ekonomi mereka. Ibu bapa cikgu, biasanya anak muridnya baik. Walaupun tak semua, tapi saya bercakap atas populasi dua kelas yang saya mengajar tadi. Ada juga ibu bapa yang berkerja sendiri. Berniaga, kontraktor dan banyak lagi yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tidak kisahlah apa pun perkerjaan mereka, apa yang lebih penting ialah bagaimana mereka sepatutnya memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak. Saya hairan. Bagaimana mereka boleh berkerja selepas waktu persekolahan, Bagaimana mereka boleh membawa telefon bimbit ke sekolah? Kerja sekolah yang tidak pernah disiapkan, alat tulis yang tidak pernah lengkap sehinggakan satu batang pen dikongsi seramai 10 orang di dalam kelas. Siapa yang membenarkan mereka berkerja? siapa yang membekalkan mereka telefon bimbit? siapa yang sepatutnya memeriksa kerja-kerja sekolah dan segala kelengkapan mereka untuk belajar? anda sendiri tahu jawpannya. Kesan daripada ketidakpedulian ibu bapa inilah yang menyebabkan anak-anak mereka tidak bersemangat untuk belajar di sekolah. Ya mereka ke sekolah kerana untuk berjumpa dengan kawan-kawan sahaja. Sekurang-kurangya hilang bosan duduk di rumah. Golongan ini bukanlah mewakili semua pelajar di sekolah tersebut. Ini ialah hasil pemerhatian saya. Tidak semua, tapi ada.

3 bulan lebih cukup untuk melatih diri sebagai seorang guru dari sudut teori. Tapi tidak cukup untuk menjadikan saya seorang murobbiah. Murobbiah yang mampu mengubah akhlak seorang pelajar. Saya hanya mampu menasihat dan memotivasi. Asal ada peluang sempat juga saya selitkan bab solat, mengumpat, ikhlas dan sebagainya. Namun, tidak sempat untuk saya pergi dengan lebih jauh. Guru-guru senior di sini ada juga mengatakan "kalau awak dapat A LM kat sekolah ni, nanti bila posting pergi mana-mana pun senang. Sebab, kpi dia, sekolah kita. kalau awak dah boleh handle budak-budak yang teruk macam sekolah kita, bila posting, dapat budak yang macam mana pun tak perlu risau sebab dah ada pengalaman." Saya hanya tersenyum. Setiap kali saya ingat kata-kata ini, saya cuba untuk melupakan. Kerana saya tidak mahu ia menjadikan satu mind setting untuk saya melabelkan anak-anak murid saya itu teruk. Biar siapa pun anak murid kita, ikhlas seorang guru untuk mendidik dan mentarbiyah itu sangat penting. Dengan ikhlas itulah yang akan mengalir sedikit sebanyak mengubah akhlak mereka.  Cumanya ia perlu diseimbangkan dengan teknik-teknik pengajaran yang Pn Ainon ada cadangkan daripada psikologi hadith, Teknik Pengajaran Rasulullah. Sangat berharap, saya dapat menjadi salah seorang pesertanya nanti.

Ada baki lagi seminggu.  Otak saya sudah siap merangka kata-kata akhir yang patut saya ucapkan di kelas terakhir bersama mereka nanti. Cikgu mana yang tak sayang anak murid?


  

17 June 2012

Konvensyen Fiqh Ummah 2012 kini di UTM SKUDAI


Konvensyen Fiqh Ummah 2012 kini di UTM SKUDAI. ayuh jangan lepaskan peluang segera mendaftar sebelum 30 jun ini! Bersama asatizah membicarakan konsep wasatiyyah dari pelbagai sudut. Sila lawatiwww.k-fiqh.com untuk mengetahui butiran selanjutnya.

antara pembentang kertas kerja: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ust Mohd Aizam Mas'od, Ust Ahmad Husni Abd Rahman, Dr Ahmad Wifaq Mokhtar, Ust Abdullah Bukhari, Dr Zahazan Mohamad, Dr Mohd Sukki Othman, Ust Zamri MANTOP, Ust Syed Mohd Norhisyam, Xifu Naser, Dr Zaharuddin Abd Rahman, Ust Ramadhan Fitri, Dr Maszlee Malik, Dr Khairuddin Aman Razali, Ust Mohammad Nidzam Abd Kadir, Ust Roslan Mohamed, Dr Abdul Basit Abd Rahman, dan Ust Ahmad Fauwaz

09 June 2012

Diari Cikgu 8: Gua Musang

Sudah lama rasanya jari tak menaip dek kerana cuti sekolah 2 minggu. Makanya... mari rehatkan badan, otak dan kaki. Kaki? kenapa kaki? sebab kaki digunakan untuk berjalan. (ini jawapan budak kecil yang masih pakai lampin pun tahu). Maka dengan wujudnya cuti sekolah di tengah-tengah LM secara tidak langsung kaki saya adalah antara anggota badan yang beruntung kerana tidak perlu memakai kasut heel dan naik turun tangga dan jalan mundar mandir di dalam kelas. Saya highlightkan heel sebab LM ni kali pertama kena pakai kasut ada heel sepenuh masa separuh hari sebab ia memudahkan saya untuk menulis di papan hitam atau putih kerana Allah telah mentakdirkan saya tidak tinggi. Bukan rendah ye Tuan Puan. TIDAK TINGGI! (silakan kalau nak tersengih atau tergelak)

Gua Musang

Sebelum cuti sekolah bermula, saya dan kawan-kawan praktikal yang lain mesti join perkhemahan unit beruinform di Gua Musang. Sesetengah daripada kami memang tarik muka sebab cuti sekolah berluak disebabkan kem ni. Tapi saya menyambutnya dengan tangan terbuka sebesar pintu gol bola sepak. Atau mungkin lebih. Sebab? saya memang kaki berjalan. Jadi, ini adalah peluang terbesar untuk saya ambil kesempatan. Dah la memang teringin sangat nok g klate. RM 50 je tambang pergi balik + makan + penginapan. Ni harga kesian yang ditetapkan oleh pihak sekolah sebab, kalau nak ikutkan kami tak terlibat dengan aktiviti-aktiviti luar. Dan mereka pun faham yang kami ni mahasiswa PTPTN belum dapat elaun tak beruang sangat. Eyh, berwang la! Walaupun tak dapat pergi tempat-tempat penting di Klate, tapi buat permulaan, menjejakkan kaki dan dapat menghirup udara dia pun dah kira ok kot..

Tak larat rasanya dah nak putar balik ingatan ke setiap detik yang berlaku di sana agak basi juga saya baru menulis tentangnya pada hari ini. Jadi, saya tulis mana yang saya rasa penting je lah ye..

Abseiling
Nak tahu apa itu abseiling? menurut kamus, abseiling membawa maksud, To abseil down a cliff or rock face means to slide down it in a controlled way using a rope, with your feet against the cliff or rock. Yeargh!! this is my first tymo.... Perasaan? bercampur baur. Disebabkan dah niat dari awal memang nak join. Maka, saya telah mewajibkan diri untuk join secara kaafah (keseluruhan).

"Cikgu, cikgu naik tak?!", tanya Akmal.

"Insya Allah, kalau umur saya panjang kejap lagi, saya naik la..." jawab saya selamba.

"Eish.. Tak sabar aku nak tengok cikgu ustazah ni naik" kata Firdaus.

ada ke patut dia panggil saya cikgu ustazah.. = =!

"Cikgu... saya takutlah nak naik... " kata Afiqah

"Insya Allah, baca selawat banyak-banyak. Yakin je. Semua orang boleh buat.. Awak boleh sebenarnya.. go go!" saya memberi semangat. padahal dalam diri sendiri pun memang dah takut tahap? tahap Gunung Everest!

bila dah terbagi semangat dekat student, maka cikgunya kenalah lebih-lebih lagi bersemangat. Demi merealisisasikannya, maka saya pun pergi jugalah terjun..hua hua...Bila kat bawah, duk menghafal segala teknik yang Kak Rin ajar. Kak Rin ni cikgu PJK yang ikut serta kem ni. So, dia banyak bagi taklimat tambahan selain daripada trainer tu sendiri. Tapi bila dah dekat atas, lupa segala teknik.So, main redah je. dan sayup - sayup dengar dari bawah diorang bersorak...

"Yeay.. yeay.. go go Cikgu Linda... Lagi.. sikit lagi... " riuh mereka bersorak bagi semangat..

adeyss.... malu betul!

Rock Climbing

Apa itu rock climbing? Direct translate = Batu panjat. hehe.. Memanjat batu la maksudnya.. Erm.. batu yang kami panjat ni, batu betul-betul ye. Bukan dinding yang ada bonjol-bonjol tu. Ni bukit batu kapur betul-betul. So, sangat mencabar sebab kena pandai-pandai cari lekuk tempat berpaut sendiri..

sementara tunggu giliran...

"Cikgu, cikgu naik tak? kalau cikgu naik saya naik..." kata Akmal sambil tersengih. ceyh! dia ingat ni macam citer titanic ke "you jump i jump?"

"Insya Allah, kalau Allah panjangkan umur saya sampai turn saya, saya naik la...." jawab saya dengan selamba..

"Alah cikgu ni.. asyik bagi jawapan sama je.."

"Cikgu, cikgu pandang sini cikgu. senyuuuummmm..." Firdaus datang sambil bawa kamera.

Saya tutup muka. Adeyh la budak-budak ni.

"Awak jangan nak mengada-mengada eyh! Nak kena penampar?" gertak saya serius!

"Alah cikgu ni.. garang betul.."

whatever...

dan akhirnya sampai jugalah turn saya. Mujur masa tu student semua dah balik. Tinggal cikgu-cikgu je. tak adalah segan sangat. tapi sebelum naik tu, sempat jugalah nampak cikgu-cikgu lelaki ni macam tak confident je saya boleh naik. Maklumlah... saya kan pakai tudung labuh. T-shirt labuh.. bolehke ? Dan sebab pandangan mereka tu jugalah membuatkan saya berkobar-kobar nak naik. Eyh, ni bukan penghalang ok! Akhirnya naik juga.. Ada juga cikgu lelaki yang tak naik. huh.. Sembang lebat!

Teroka Gua Musang

Akhirnya tibalah kita ke aktiviti kemuncak iaitu meneroka Gua Musang. \^^/ awesome! Daripada Taman Etnobotani tempat kami menginap nak ke Gua Musang tu di stesen keretapi lama kena naik bas. sempat juga cuci mata lihat kawasan sekitar Kelantan. Iklan banyak dalam tulisan jawi. Bendera PAS di mana-mana. Owh mengingatkan saya siapa kerajaaan di negeri ini.

Sampai di kaki bukit, semua tercengang.

"Mana guanya?"

"Tuuu kat atas.."

"Apa?!!"

Ye. gua tersebut berada di tengah-tengah bukit. bukan di kaki bukit. jadi, nak tak nak, kena daki bukit yang curam dan licin tu. Jalannya memang mencabar. Ada yang kena naik guna tali dan bantuan orang lain. Saya dah mula risau. Bukan risau sebab mencabar. Tapi saya risau la bila nak kena ada orang tarik, tolak dan pegang, maka percampuran akan berlaku. Trainer yang nak menarik, menolak dan memegang tu abe-abe klate yang gagah perkasa. Owh no! Ya Allah, tolong aku! mudahkan aku buat sendiri dengan bantuanMu ya Allah... sempat saya berdoa. Setiap langkah memang sukar. Penatnya tak boleh nak cakap. dan bila sampai part-part yang memerlukan bantuan tu...

"owh..molek sikit.. boleh Ustazah?" seorang trainer menghulurkan tangan cuba memberi bantuan.

Adeyh! aku bukan Ustazah la... sempat saya merungut dalam hati."Ok..Ok takpe saya cuba buat sendiri. " jawab saya. Dengan segala kudrat yang ada, saya paut segala apa yang ada, dan menolak badan ke atas dengan sekuat hati. Mujur saya pakai beg galas di belakang maka trainer yang jaga di bawah menolak saya dari bawah berlapikkan beg. yang tak pakai beg? dia tolak badan tau! sungguh aku tak rela diperlakukan sebegitu. Walaupun itu sahaja pilihan yang ada. Tapi kita masih boleh memilih apa yang kita nak pakai dan apa langkah keselamatan yang boleh diambil untuk mengelakkan anda daripada disentuh selain muhrim anda. Its not an excuse! Sebelum naik, saya memang dah agak akan jadi macam ni. T-Shirt dan tudung labuh yang saya pakai, dapat lindungi saya untuk terlihat aurat masa panjat-panjat. Sebab masa panjat tu, ada kemungkinan besar boleh terselak mana-mana bahagian. Dengan dressing ini juga trainer tu panggil saya ustazah. whatever...Dan beg galas memang saya bawa sebab nak isi 2 botol air +biskut cokelat untuk energy dan first aid kid. (tiba-tiba kena jadi ajk keselematan. Sebab diorang nampak saya bawa beg. ok fine!)

Bila sampai gua, jeng jeng jeng! pintu gua sangat kecil. Nak masuk, kena mengiring. Tak kiralah orang tu kurus macam mana, kena mengiring jugak. phew! campak beg ke dalam dulu. baru boleh muat. Alhamdulillah lepas... tanpa herbalife masih boleh muat.. hehe :P. masuk Gua tengok bentuk-bentuk batu.. Subhanallah... cantik! stalaktit dan stalakmit yang terbentuk daripada titisan air. Sangat cantik. tak dapat ambil gambar banyak sebab gelap. Memang kena pakai lampu suluh.

Keluar gua, kena naik lagi atas untuk sampai puncak. Phew!! penat penat....bila dah sampai puncak, Subhanallah.. macam tak percaya. :) Sayang tak ada banner dan bendera Johor. So, sempat bergambar je..

Alhamdulillah.. penat memang penat. Tapi puas! Memang sesuai la buat abseiling dan rock climbing sebelum masuk gua ni sebab, banyak teknik memanjat dan turun yang boleh ambil daripada sana.

Random aktiviti

Malam sebelum panjat gua, ada la sesi latihan untuk majlis penutup. Ada kumpulan yang main gitar. So, saja teringin sentuh try la petik. Belajar dengan student.. Dan masa saya pegang gitar dan buat gaya najwa latip tu, ini respond mereka..

"Fuiyooooo cikgu ustazah main gitar!!"

"pergh giler selamba cikgu nih!"

"Waaa ni macam yuna ni.. takpun Najwa Latip"

dan banyak jugalah flash kamera. Adeyh la budak-budak ni.. Dan saya dah tangkap dah gambar tu di facebook student dan suruh dia delete sebelum ia jadi bahan di sekolah nanti.

Penutup

penat tapi best. Dan apa yang paling penting, Ihfazillah, yahfazik! Jaga Allah, Allah akan menjaga kamu. Nak katanya, bukanlah saya ni orang yang beriman kuat tanpa dosa. Tapi kita sama-sama usaha. Selaku orang yang faham apa itu aurat dan ikhtilat, maka usahalah untuk menjaga. Usaha bukan menyerah! Dan yang saya rasa bersyukur sangat, dengan trainer-trainer lelaki tu.. Bila kita dressing macam ni, maka mereka respect. Tak pegang sesuka hati. Setiap kali nak tolong, mesti minta izin dulu. Alhamdulillah...

well.. Segala yang saya post di fb dan blog pasal kisah saya di Gua Musang ni bukanlah untuk tujuan menunjuk apatah lagi untuk membuktikan Real Muslimat. Tidak sama sekali. Sekadar perkongsian. Yang baik dijadikan teladan. Yang buruk sila delete. ok. Sekian.

Nota;
nak tengok gambar, sila lawat di facebook.






07 May 2012

Kutemu Cinta-Nya


“Orangnya yang duduk di sebelah kiri dan bertudung coklat.”
Muka Farid berkerut-kerut melihat seorang wanita yang bertudung coklat dan berjubah kelabu. Badannya agak gempal dan wajahnya agak gelap. Hidungnya tidak mancung, boleh dikatakan sama rata dengan pipinya yang agak tembam.
“Tidak mungkin ibu memilih orang yang seperti ini untuk aku. Orang macam ini bukan jenis yang aku minat,” Farid berkata dalam hatinya.

Di babak awal, Farid seorang yang biasa-biasa. Solatnya jarang-jarang dibuat. Makan dan minumnya juga penuh syubhah. Dia juga mementingkan kecantikan rupa paras dalam menilai calon perempuan untuk dijadikan isterinya. 

Namun, novel ini bukanlah hanya sarat dengan cinta, cinta dan CINTA. Bukan juga hanya kisah penghijrahan seorang jahil kepada alim. Tetapi di dalamnya juga ada terkandung pelbagai ilmu mengenai ilmu perubatan Islam tidak hairanlah kerana penulisnya memang seorang doktor. Pasti doktor ini punyai pengetahuan yang luas dalam bidang perubatan moden, tradisional dan Islam. Sempat juga dimasukkan beberapa konflik seseorang itu dalam mengamalkan ilmu persilatan yang boleh menjadikan dirinya kebal dan tidak lut dimakan senjata. 

Insya Allah, bermafaat! Selamat membaca..:)



Tajuk: Kutemu Cinta-Nya
Penulis: Dr Farhan Hadi Mohd Taib
Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd
Harga: Sem. Malaysia RM23.00
Bilangan muka surat: 296
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...